Azlan Tagih Keputusan Terbaik

Diterbitkan: Khamis, 24 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azlan mahu mempamerkan tunggangan terbaik di Litar Sentul.
Azlan mahu mempamerkan tunggangan terbaik di Litar Sentul.

PELUMBA SuperSports 600cc negara, Azlan Shah Kamaruzaman mahu memadam kekecewaan yang dialami pada perlumbaan lepas dan bertindak melakukan aksi terbaik menjelang saingan Pusingan 3 siri Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS yang berlangsung di Litar Sentul, Jakarta dari 25 hingga 27 Jun ini.

Pelumba pasukan PETRONAS Yamaha Malaysia itu, gagal mengambil kesempatan merebut kedudukan terbaik pada perlumbaan lepas selepas melakukan kesilapan sendiri pada Perlumbaan 1 di Litar Autopolis, Jepun, Mei lalu.

Kesilapan kecil itu, meletakkan Azlan di tempat kelapan sekalipun bermula baik di petak kelima. Kedudukan Azlan juga turun satu anak tangga dari tempat keempat sebelum ini ke tangga kelima dengan kutipan 34 mata dan terikat bersama pelumba Jepun, Makoto Inagaki yang mewakili pasukan Moto-Rev India.

Mendahului senarai kedudukan SuperSports 600cc ialah Glenn Allerton dari Red Rooster Racing dengan 61 mata, diikuti juara bertahan, Chalermpol Polamai (PETRONAS Yamaha Thailand) dengan 59 points sementara rakan sepasukan Azlan, Mohd Zamri Baba di tempat ketiga dengan 46 mata.

Azlan yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat Perlumbaan 1 dan 2 pada saingan pembukaan di Sepang, April lepas menjelaskan bahawa persaingan musim ini tampak lebih sukar dengan kehadiran semula juara 6 kali, Toshiyuki Hamaguchi dan pendatang baru dari Australia, Allerton yang juga bekas juara Superbike Australia musim 2008.

“Kehadiran dua pelumba terbaik itu serta peningkatan memberangsangkan gandingan pelumba Thailand (Chalermpol dan Decha Kraisart), meletakkan saingan bertambah sukar. Jadi saya harap, kesilapan sebegitu tidak berulang lagi selepas ini.

“Setiap mata cukup berharga. Buat masa ini, saya perlu kembali bersaing selepas apa yang berlaku pada perlumbaan pertama dan pembatalan perlumbaan kedua di Jepun. Impian saya adalah untuk mendapat seberapa banyak mata pada baki pusingan seterusnya,” jelas Azlan.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, Litar Sentul merupakan antara trek yang cukup berteknikal dan baginya sudah pasti bukan mudah untuk menawan litar tersebut.

“Bagaimanapun, ia tidak sesekali mematahkan semangat dan impian di sana kelak. Matlamat saya adalah menamatkan kedua-dua perlumbaan di Sentul pada kedudukan lima pelumba terbaik perlumbaan akhir," ujarnya.

Mengulas mengenai strategi digunakan pada perlumbaan itu kelak, Azlan memberitahu perkara pertama yang perlu dilakukannya adalah mencatat masa terbaik pada sesi kelayakan supaya menjanjikan kedudukan selesa untuk memulakan cabaran di perlumbaan akhir.

“Dalam perlumbaan sebegini, sukar bagi anda untuk mengejar kedudukan kelompok pelumba dihadapan seandainya ketinggalan melainkan jentera anda cukup kompetitif dan pantas. Saya harap segalanya berjalan lancar, dari sesi kelayakan pertama sehingga perlumbaan akhir,” tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan