Impul, M7 RE-AMEMIYA Racing Takluk Litar Sepang

Diterbitkan: Ahad, 20 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Selepas kejayaan meraih petak pertama semalam, Pasukan Impul yang diwakili dua pemandu berpengalaman, Tsugio Matsuda dan Ronnie Quintarelli meneruskan penguasaan apabila muncul juara bagi kategori GT500 pada perlumbaan Super GT Antarabangsa Malaysia (Super GT) pusingan keempat yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, sebentar tadi.

Pasukan Impul yang mengemudi jentera Calsonic Impul GT-R menamatkan perlumbaan 54 pusingan dengan catatan terpantas, 1:50:54.084 saat.

Menurut Matsuda, seperti yang diharapkan semalam, impian untuk bergelar juara di Litar Sepang akhirnya menjadi kenyataan.

"Jentera berada pada keadaan baik. Pada mulanya saya berasa tidak yakin kerana jurang masa dengan pasukan lain agak rapat. Namun Roonie berjaya meletakkan pasukan di kedudukan selesa. Dia mempamerkan teknik pemanduan menakjubkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan di sini semalam.

Menyedari perlumbaan kali ini penting untuk pasukan, Roonie memberitahu dia menggandakan usaha dan cuba menjarakkan jurang masa dengan pasukan lain.

"Tahap perlumbaan Super GT terlalu tinggi. Anda memerlukan setiap kemenangan. Perasaan bergelar juara di sini terlalu unik. Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan pasukan di atas segala sokongan yang diberikan," jelasnya.

Meskipun Pasukan Impul bergelut dengan masalah kewangan dan mencatatkan keputusan mengecewakan pada perlumbaan terdahulu di Jepun, ia tidak mematahkan semangat kedua-dua pelumba itu. Sebaliknya, Matsuda dan Roonie menyifatkan kejayaan kali ini adalah detik paling bermakna buat pasukan itu.

Sementara itu, Pasukan NISMO yang mempertaruhkan jentera Motul Autech GT-R sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 1:51:07.417 manakala tempat ketiga menjadi milik Weider Honda Racing.

Pasukan Weider Honda Racing yang diwakili Takashi Kogure dan Loic Duval ketinggalan 16.673 saat di belakang NISMO.

Bagi kategori GT300 pula, Pasukan M7 RE-AMEMIYA Racing yang mendapat tajaan utama dari Malaysia mengetepikan pasukan lain dengan catatan 1:52:09.593 saat untuk menduduki tempat pertama sekali gus dinobat selaku juara di luar Jepun.

Pasukan yang diperkuat pemandu Nobuteru Taniguchi dan Ryo Orime mengemudi jentera M7 Mutiara Motors Amemiya SGC 7 dalam perlumbaan 50 pusingan itu.

"Saya akui sedikit tertekan kerana harapan yang diletakkan terhadap kami terlalu tinggi. Namun kami berjaya menamatkan perlumbaan ini tanpa sebarang masalah. Saya amat berbangga bergelar juara di sini," kata Taniguchi.

Katanya, sebagai persediaan awal mereka mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai keadaan di litar Sepang dan berjaya membuat pilihan penggunaan tayar yang tepat.

Orime yang bertindak selaku pelumba kedua dan melakukan 23 pusingan terakhir menyifatkan keajaiban berlaku apabila mereka berjaya menamatkan perlumbaan itu walaupun berdepan masalah tayar di bahagian depan (kiri).

"Pada pusingan ketujuh terakhir, tayar depan bahagian kiri mengalami sedikit masalah. Saya sedaya upaya melakukan yang terbaik dan keajaiban berlaku pada perlumbaan kali ini," jelasnya.

Mengulas mengenai perlumbaan kelima di Litar Sugo Jepun, Orime berkata mereka akan terus memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan untuk membantu pasukan bergelar juara keseluruhan pada musim ini.

Dalam pada itu, Pasukan Aguri Autobacs Racing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 1:52:37.218 saat manakala APR di tempat ketiga.

Perlumbaan paling terkemuka di Jepun itu sebentar tadi turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran 27,500 penonton.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan