Impul Raih Petak Pertama Buat Julung Kali

Diterbitkan: Sabtu, 19 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang ibarat membawa tuah kepada Pasukan Impul apabila menamatkan sesi kelayakan kedua Siri Super GT Antarabangsa Malaysia bagi kategori GT500 di tempat pertama petang tadi.

Kemenangan itu sekali gus memberi peluang kepada pasukan Impul untuk memulakan perlumbaan buat pertama kalinya di palin depan, esok.

Jentera Calsonic Impul GT-R yang dipandu Tsugio Matsuda dan Roonie Quintarelli meninggalkan pasukan lawan di depan dengan catatan 01:57.409.

Menurut Tsugio, kemenangan hari ini menaikkan semangat dan keyakinan mereka memulakan perlumbaan esok.

"Saya amat gembira dengan kejayaan ini. Saya yakin kami sudah bersedia untuk berdepan saingan sengit daripada pasukan lawan esok. Kami sudah membiasakan diri dengan keadaan di litar ini," katanya.

Begitupun, Tsugio memberitahu kombinasi jentera dan tayar yang begitu bagus membolehkan mereka berdua menamatkan perlumbaan itu dengan keputusan memberangsangkan.

"Sudah semestinya langkah seterusnya adalah untuk menang perlumbaan esok. Saya percaya ia boleh berlaku dan Roonie adalah seorang pelumba terpantas," ujarnya.

Roonie memberitahu tayar yang digunakan hari ini bersesuaian dengan keadaan litar dan cuaca di sini.

"Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku esok. Pasukan lawan turut memberi saingan sengit dan dilengkapi jentera dan tayar yang baik. Saya sedikit gementar," jelasnya.

Sementara itu, Pasukan Aguri Autobacs Racing menduduki tempat kedua dengan catatan 01:57.495 saat.

Tempat ketiga pula berpihak kepada Pasukan Nismo yang diwakili Satoshi Motoyama dan Benoit Treluyer.

Mereka menamatkan perlumbaan dengan catatan 01:57.703 saat.

Perlumbaan pusingan keempat Super GT bagi kategori GT300 dan GT500 akan bermula pada jam 4.00 petang esok.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan