Akhbar Jerman Dakwa Schumacher Akan Sertai F1 Mercedes

Diterbitkan: Isnin, 14 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERLIN: Michael Schumacher, yang pernah menjuarai Formula Satu (F1) sebanyak tujuh kali akan kembali bekerja dengan pasukan Mercedes tahun hadapan, demikian menurut portal akhbar Bild.

Tambah akhbar itu lagi, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menandatangani kontrak selama setahun dan akan membuat pengumuman mengenainya pada minggu depan. Kontrak itu sudah sedia untuk ditandatangani.

Apabila seorang wartawan Jerman menyoal Schumacher mengenai laporan itu, beliau tidak mahu memberi apa-apa komen.

Wartawan dari Jerman itu mengutarakan soalan tersebut kepada pemandu F1 berumur 41 tahun itu semasa menghadiri pertandingan ‘go-kart’ junior di tempat asalnya, Kerpen.

Selain itu, jurucakap Schumacher, Sabine Kehm juga enggan mengulas lanjut mengenai laporan tersebut.

Pasukan Mercedes pula berkata, spekulasi mengenai satu tempat kosong dalam pasukan mereka akan sentiasa timbul memandangkan tempat itu belum diisi.

Schumacher bersara pada tahun 2006 selepas menjuarai F1 tujuh kali iaitu yang terbanyak dalam sejarah F1.

Beliau tidak meneruskan rancangan untuk kembali beraksi dengan pasukan Ferrari buat sementara waktu pada tahun ini kerana mengalami kecederaan di bahagian leher akibat satu kemalangan motosikal.

Sementara itu, portal akhbar tersebut juga turut menyiarkan temuramah dengan seorang lagi juara F1, Damon Hill yang berkata Schumacher masih mampu memenangi mana-mana perlumbaaan.

“Ketika berumur 37 tahun, saya pernah memenangi satu perlumbaan apabila bersaing dengan Jordan. Michael tentu boleh memenangi perlumbaan walaupun sudah berumur 41 tahun,” tambahnya.

Manakala seorang pemandu pasukan Mercedes, Nico Rosberg memberitahu akhbar Bild bahawa keputusan Schumacher untuk kembali beraksi adalah ‘satu cabaran yang menarik’.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan