suria

'Kekalahan Terburuk Dalam Sejarah England' - Lineker

Hodgson dikecam hebat di atas kegagalannya memacu England sehingga ke pusingan suku akhir Euro 2016.

HANYA beberapa hari selepas rakyat Britain mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) dalam referendum yang menggemparkan seluruh dunia, kini giliran pasukan bola sepak England meninggalkan kejohanan Euro 2016.

England tersingkir pada kelompok 16 pasukan terbaik selepas tewas 1-2 kepada Iceland, awal pagi Selasa.

Kekalahan skuad kendalian Roy Hodgson itu bukan sahaja dikritik hebat malah dijadikan bahan jenaka di kalangan penyokong skuad The Three Lions.

Ada di kalangan penyokong mencadangkan agar Hodgson mengambil alih tugas Perdana Menteri Britain, David Cameron 'kerana beliau akan menjadi calon terbaik untuk mengemudi negara itu keluar dari Eropah'.

Beberapa bekas pemain England turut tidak ketinggalan membidas kegagalan England meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir.

"Kekalahan teruk dalam sejarah kira. England ditewaskan negara yang mempunyai banyak gunung berapi berbanding pemain profesional. Iceland bermain lebih baik," tulis bekas penyerang England, Gary Lineker di laman Twitternya.

"England - menyedihkan, mengejutkan, tidak cekap," kata Alan Shearer.

Sementara itu, Peter Crouch yang pernah mewakili England pada dua perlawanan Piala Dunia turut mengkritik corak permainan anak buah Hodgson itu.

Wayne Rooney meletakkan England di depan menerusi sepakan penalti pada minit keempat.

Namun Iceland bangkit menjaringkan dua gol untuk menyingkirkan England daripada saingan tersebut.




Roy Hodgson, Gary Neville, Euro 2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sepanyol Gigit Jari

Artikel Lain