suria

Hodgson Minta Maaf Kepada Penyokong England

PENGURUS England Roy Hodgson mengakui kecewa selepas anak buahnya sekadar mengutip satu mata ketika menentang Slovakia dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B, awal pagi Selasa.

Pada pertemuan itu, England mencatat keputusan seri tanpa jaringan sekali gus menyaksikan skuad tersebut menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Wales.

Hodgson bagaimanapun berkata beliau tidak bimbang mengenai saingan pada peringkat kalah mati kerana yakin dengan nama-nama besar yang mewakili England.

Pada masa sama beliau turut meminta maaf kepada penyokong kerana gagal menghadiahkan kemenangan kepada mereka pada pertembungan itu.

“Kami menguasai perlawanan itu sejak dari awal hingga tamat perlawanan dan terdapat beberapa percubaan dan peluang.

“Namun saya tidak boleh menyalahkan pemain di atas segala usaha keras mereka dalam perlawanan ini,” katanya.

Meskipun sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua, Hodgson yakin anak buahnya akan belajar daripada kesilapan itu dan menjaringkan gol pada pusingan seterusnya.

Ketika ditanya mengenai pilihan kesebelasan utamanya yang menyaksikan Wayne Rooney, Harry Kane dan Dele Alli duduk di bangku simpanan, beliau berkata: “Jika kami memenangi perlawanan ini penyokong akan kata tidak salah kami meninggalkan mereka, jika anda tidak menang orang ramai sentiasa kata berlaku kesilapan dalam pemilihan pemain dan saya sudah lali dengannya.

"Namun beliau merasakan pertukaran itu memberi nafas baharu kepada England.

“Saya fikir ia amat berguna untuk melakukan sesuatu apabila pemain Slovakia keletihan dengan memasukkan Dele Alli, Harry Kane dan Wayne Rooney bagi mengubah rentak perlawanan".

Euro2016, Hodgson, England

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

England Mara Dalam Kecewa

Artikel Lain