suria

England Mara Dalam Kecewa

Hodgson (kiri) bersama Vardy dan Dele Alli berjalan keluar padang selepas terikat seri 0-0 bersama Slovakia aksi awal pagi Selasa.

ENGLAND berjaya mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati tetapi terlepas status juara Kumpulan B Euro 2016 selepas seri 0-0 dengan Slovakia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan itu awal pagi Selasa.

Skuad The Three Lions itu sekadar menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan selepas Wales menang 3-0 ke atas Rusia dalam satu perlawanan berasingan di Toulouse.

England mempunyai beberapa peluang berbahaya di depan lawan tetapi penjaga gol Slovakia, Matus Kozacik tampil dengan aksik cemerlang.

Keputusan seri itu sekali lagi mengecewakan penyokong England di Saint-Etienne yang menyaksikan Hodgson melakukan enam pertukaran dalam pasukan yang beraksi menentang Wales minggu lalu.

Percaturan Hodgson itu ternyata mendapat kritikan ramai penyokong England apabila gagal mencipta sebarang kejutan untuk mereka muncul juara peringkat kumpulan.

Jamie Vardy dan Daniel Sturridge, wira yang menjaringkan gol ketika menentang Wales diturunkan pada pertembungan penting itu manakala Wayne Rooney antara pemain yang duduk di bangku simpanan.

Kedua-dua pemain itu terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol di Stadium Geoffroy-Guichard, venue yang mengimbau kembali detik hitam England apabila mereka tewas kepada Argentina pada pusingan kalah mati Piala Dunia pada 1998.

Anak buah Roy Hodgson itu akan beraksi menentang naib juara Kumpulan F iaitu sama ada Hungary atau Portugal pada kelompok 16 pasukan terbaik di Nice, Isnin depan.

Senarai pemain
:

SLOVAKIA
: Kozacik; Pekarik, Skrtel, Durica, Hubocan; Kucka, Pecovsky, Hamsik; Mak, Weiss, Duda.

ENGLAND: Hart; Clyne, Cahill, Smalling, Bertrand; Henderson, Dier, Wilshere; Lallana, Sturridge, Vardy.

England, Euro 2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain