Benam Albania, Perancis Mara Ke Pusingan 16 Terakhir

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2016 7:11 AM

Pemain pertahanan Albania, Arlind Ajeti (dua, kanan) dan rakan sepasukan, Ledian Memushaj (kanan) cuba merampas bola daripada pemain Perancis Andre-Pierre Gignac (kiri) saingan peringkat Kumpulan A Euro 2016, awal pagi Khamis. Foto AFP

(Ubah saiz teks)

MARSEILLE: Perancis menjadi pasukan pertama mengesahkan tiket ke kelompok 16 pasukan terbaik Euro 2016 selepas menewaskan Albania 2-0 pada saingan peringkat Kumpulan A, awal pagi Khamis.

Antoine Griezmann meledak jaringan lewat permainan sebelum Dimitri Payet menambah gol kedua di masa kecederaan.

Perancis memulakan buruan gelaran pertama kejohanan Eropah dalam tempoh 16 tahun dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Romania, Sabtu lalu.

Meskipun beberapa peluang hadir pada babak kedua, pasukan tuan rumah akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi tandukan Griezmann pada minit ke-90 di Stade Veledrome.

Pengurus Didier Deschamps menggantikan Paul Pogba yang kurang menyerlah dengan Anthony Martial manakala Kingsley Coman mengambil tempat Griezmann dalam aksi pertama Perancis di Stade Velodrome sejak menjuarai Piala Dunia pada 1998.

Ini bermakna Deshamps mengubah formasi pasukan daripada 4-3-3 kepada 4-2-3-1, dengan penyerang Arsenal Olivier Giroud beraksi sebagai penyerang tunggal.

Namun selepas aksi hambar babak pertama, Deschamps segera mempertimbangkan semula keputusannya itu dengan membawa masuk Pogba dan Griezmann. 

"Kami memerlukan kemenangan untuk terus mara, dan tugas ini akhirnya selesai.

"Jurulatih ada memberitahu bahawa saya mungkin dibawa masuk sebagai pemain gantian. Saya tahu mengenainya dan saya mahu melakukan yang terbaik sekiranya dimasukkan," kata Griezmann.

Payet sekali lagi memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan Perancis apabila meledak gol menerusi percubaan menarik pada minit keenam di masa kecederaan untuk dinobatkan pemain terbaik perlawanan buat kali kedua berturut-turut. 

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini menjaringkan gol kemenangan ketika Perancis menundukkan Romania 2-1 dalam aksi pembukaan Euro 2016. 

Senarai Pemain: 

Albania: Berisha; Hysaj, Ajeti, Mavraj, Agolli; Kukeli; Lila, Abrashi, Memushaj, Lenjani; Sadiku.

Perancis: Lloris; Sagna, Rami, Koscielny, Evra; Kanté, Matuidi; Coman, Payet, Martial; Giroud.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan