Iceland Ikat Portugal

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2016 6:30 AM

Bjarnason meraikan jaringannya bersama rakan pasukan.

(Ubah saiz teks)

BIRKIR Bjarnason muncul penyelamat Iceland apabila menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Portugal 1-1 pada aksi peringkat Kumpulan F Euro 2016 di St Etienne, awal page Rabu.

Portugal terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan bekas pemain Manchester United, Nani pada minit ke-31.

Namun kedudukan itu hanya bertahan sehingga minit ke-50 apabila Bjarnason menjaringkan gol penyamaan sekali gus membolehkan Iceland berkongsi satu mata dengan pasukan yang diperkuat bintang gergasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Meskipun gagal menjaringkan sebarang gol, Ronaldo berjaya menyamai rekod penampilan terbanyak Luis Figo.

Kedua-duanya kini merekodkan 127 penampilan bersama skuad Portugal.

Ronaldo kelihatan kecewa kerana gagal muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam empat edisi kejohanan Eropah selepas tidak berjaya membolosi benteng pertahanan pasukan kerdil, Iceland.

Iceland sebuah kepulauan kecil di utara Lautan Atlantik dengan kapasiti penduduk kira-kira 330,000 orang adalah negara terkecil dari segi jumlah penduduk yang pernah beraksi di pentas akhir kejohanan ini.

Meskipun sekadar seri Nani menyifatkan Portugal sebuah pasukan yang lebih bagus cuma tuah tidak menyebelahi mereka.

"Kami berada pada tahap terbaik. Kami juga sebuah pasukan yang lebih bagus kerana mempamerkan corak permainan yang memukau.

"Iceland juga tidak kurang hebatnya dan banyak melakukan hantaran jauh menyebabkan kami berdepan masalah.

"Kami ada banyak peluang tapi gagal menambah gol. Itulah bola sepak," katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan saingan Kumpulan F masih lagi terbuka luas selepas Hungary menang 2-0 ke atas Austria di Bordeaux dalam satu lagi perlawanan berasingan, awal pagi Rabu.

Portugal akan berdepan Austria di Paris manakala Iceland melayan kunjungan Hungary di Marseille, Sabtu ini.

Barisan Pemain:

Portugal: Patricio; Vieirinha, Pepe, Ricardo Carvalho, Guerreiro; Danilo; Mario, Gomes; Moutinho; Nani, Ronaldo.

Iceland: Halldorsson; Saevarsson, Ragnar Sigurdsson, Arnason, Skulason; Gudmundsson, Gunnarsson, Gylfi Sigurdsson, Birkir Bjarnason; Bodvarsson, Sigthorsson.

Tags / Kata Kunci: Portugal , Iceland , Euro 2016

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan