PJ Rangers tarik diri Liga FAM 2019 - Bola Sepak | mStar

PJ Rangers tarik diri Liga FAM 2019

Diterbitkan: Rabu, 7 November 2018 10:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelab bola sepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) membuat keputusan mengejutkan apabila ia mengumumkan untuk menarik diri daripada Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim 2019.

Menurut kelab itu, bagaimanapun mereka akan mengambil bahagian dalam Liga Super Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2019, dengan para pemain terdiri daripada pemain dari skuad utamanya, AirAsia Allstars.

“Komitmen kami kepada bola sepak di peringkat akar umbi akan kekal untuk tahun depan, dengan enam pasukan (lelaki B-8, lelaki B-10, lelaki B-12, lelaki B-14, lelaki B-16 dan perempuan B-16),” menurut maklumat yang ditweet kelab berkenaan pada Rabu.

Kelab itu tidak menyatakan mengapa mereka mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Liga FAM, tapi dipercayai ia sedang berhadapan dengan masalah kewangan.

Ditubuhkan pada 2011, kelab berkenaan sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Allstars FC sebelum dijenamakan semula sebagai PJ Rangers pada 2017 bagi menarik lebih ramai peminat dan menggalakkan sokongan komuniti tempatan sekitar Petaling Jaya.

Kelab itu membuat kemunculan pertama pada Liga FAM 2015 dan menduduki tempat ketujuh pada pusingan awal, namun berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir pada musim 2016 dan 2018.

Kelab itu berjaya mara ke peringkat suku akhir pada musim 2017. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PJ Rangers , Liga FAM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan