Juara 7 kali, juara bertahan jadi calon pilihan ke final Piala Malaysia - Bola Sepak | mStar

Juara 7 kali, juara bertahan jadi calon pilihan ke final Piala Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 19 Oktober 2018 7:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara tujuh kali, Perak dan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat mempunyai kelebihan untuk mara ke final Kejohanan Bola Sepak Piala Malaysia, musim ini.

Bekas pengendali pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan menyifatkan kedua-dua pasukan mampu melangkah ke final walaupun berdepan situasi yang berbeza.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Perak mengatasi Sabah 5-0 di laman sendiri  manakala   Terengganu FC (TFC) pula menang tipis 1-0 ke atas JDT, juga di laman sendiri.

"Aksi timbal balik di antara JDT dan TFC adalah satu perlawanan yang dijangka sengit, namun saya lihat JDT adalah sedikit kelebihan kerana mereka beraksi sebagai satu unit yang mantap selain kebanyakan pemain mereka mempunyai skil individu yang terbaik di negara ini ," katanya kepada Bernama, Jumaat.

Nada sama turut disuarakan pengendali MIFA, K. Devan yang melihat JDT dan Perak mempunyai kelebihan untuk mara ke final.

"Perak berpeluang cerah ke final berdasarkan kelebihan agregat yang mereka miliki manakala JDT mempunyai peluang ke final berdasarkan statistik cemerlang mereka dalam saingan awal Piala Malaysia," kata Devan yang pernah membimbing beberapa pasukan tempatan seperti Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengendali pasukan PKNP FC, Abu Bakar Fadzim sebaliknya berpandangan Terengganu FC dan Perak menjadi pasukan pilihan untuk mara ke final Piala Malaysia berdasarkan prestasi cemerlang yang dilakar kedua-dua pasukan berkenaan sepanjang pusingan awal.

Beliau bagaimapun mengakui kehadiran penyokong yang ramai dan rekod cemerlang di laman sendiri menjadi kelebihan kepada JDT untuk memberikan saingan sengit kepada TFC.


Tags / Kata Kunci: Piala Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan