Kelayakan Piala AFC B-19 Wanita: Jacob masih intai taktik Jordan - Bola Sepak | mStar

Kelayakan Piala AFC B-19 Wanita: Jacob masih intai taktik Jordan

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2018 4:33 PM

Skuad B-19 wanita negara. Foto kredit: FAM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Bawah 19 Tahun (B-19) wanita negara, Jacob Joseph mensasarkan dua kemenangan untuk mara ke pusingan kedua saingan kelayakan Kejuaraan Wanita B-19 AFC 2019.

Kejohanan aksi kelayakan itu bakal berlangsung di Hanoi, Vietnam bermula 24 Oktober ini.

Namun skuad negara bakal berangkat lebih awal untuk aksi pemanas badan dalam dua perlawanan persahabatan.

"Skuad hanya berkumpul lebih kurang 10 hari untuk menjalani latihan pusat di Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Gambang bermula Isnin lalu.

"Semua pemain negeri dipanggil menjalani latihan ini.

"Saya lebih menumpukan keserasian dalam tempoh singkat latihan ini.

"Kami akan berangkat pada 17 Oktober untuk perlawanan persahabatan dengan skuad wanita B-17 Vietnam dan pada 18 Oktober bersama skuad wanita B-19 Kelab Hanoi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Jelas Jacob, dia mengharapkan slot pusingan kedua menjadi milik skuad negara.

"Bagaimanapun ia bukan mudah kerana kita berada dalam kumpulan bersama tuan rumah, Vietnam. Dan kita tahu mereka sebuah pasukan yang kuat.

"Beberapa pemain B-19 mereka juga merupakan skuad wanita kebangsaan.

"Manakala pasukan Jordan, kami tidak tahu corak permainan mereka kerana tidak pernah bertemu. Saya masih cuba untuk melihat taktik mereka.

"Dan satu lagi dengan Singapura. Kami harap dapat mencatat dua kemenangan untuk selesa mara ke pusingan kedua," ujarnya.

Sebagai rekod, skuad B-19 wanita negara diundi berada dalam Kumpulan E bersama Vietnam, Jordan dan Singapura.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kedua, manakala empat pasukan terbaik keseluruhan layak secara automatik ke final Piala Asia B-19 tahun depan.


Tags / Kata Kunci: B-19 , Wanita , Jacob Joseph
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan