Piala AFC: Semuanya belum berakhir, Teong Kim percaya pemain akan bangkit - Bola Sepak | mStar

Piala AFC: Semuanya belum berakhir, Teong Kim percaya pemain akan bangkit

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 10:38 AM

Foto: AFC

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Skuad Bawah 16 Tahun negara perlu melupakan detik kekecewaan tewas kepada Thailand untuk memastikan misi merebut dua slot kedudukan dalam kumpulan tercapai.

Ini kerana, satu lagi keputusan perlawanan peringkat Kumpulan A yang juga berlangsung pada Ahad, iaitu antara Jepun dan Tajikistan hanya mencatat seri tanpa jaringan.

Kedua-kedua keputusan tersebut menyaksikan peluang untuk semua pasukan dalam kumpulan ini masih terbuka.

Jepun kini mendahului pungutan dengan empat mata, diikuti Thailand dan Malaysia berkongsi tiga mata dan Tajikistan satu mata.

Pengendali skuad muda negara ini, Lim Teong Kim yakin anak buahnya akan bangkit pada aksi bertemu Jepun, Rabu ini.

Lim Teong Kim. Foto: AFC

"Pemain-pemain jatuh dan mereka bangkit kembali (seperti perlawanan dengan Thailand).

"Mereka mempunyai keazaman dan semangat berjuang.

"Jadi ia belum berakhir. Mereka akan kembali dengan lebih kuat," jelas selepas tamat perlawanan bertemu Thailand.

Untuk rekod, pasukan negara berjaya mencatat kemenangan selesa ke atas Tajikistan 6-2 pada aksi pembukaan Khamis lalu sebelum tewas 4-2 kepada Thailand.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan A, pasukan negara akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan B yang terdiri daripada pasukan Korea Utara, Oman, Yaman dan Jordan pada aksi suku akhir yang dijadualkan 30 September.

Sekiranya pasukan negara muncul juara Kumpulan A, perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, manakala jika naib juara akan beraksi di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Perlawanan separuh akhir pada 4 Oktober akan berlangsung di Stadium Nasional dan Stadium Petaling Jaya, manakala final pula pada 7 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Empat pasukan terakhir layak ke aksi Piala Dunia B-17 yang bakal berlangsung di Peru tahun depan.


Tags / Kata Kunci: Lim Teong Lim , PPBN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan