Pochettino tarik nafas lega, Spurs benam Brighton - Bola Sepak | mStar

Pochettino tarik nafas lega, Spurs benam Brighton

Diterbitkan: Ahad, 23 September 2018 7:40 AM

(Ubah saiz teks)

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino memuji semangat juang anak buahnya selepas mereka menundukkan Brighton 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Ahad.

Spurs begitu terdesak untuk melakar kemenangan dan kejayaan ke atas Brighton itu berjaya mengelak mereka daripada mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua kejohanan.

Perlawanan itu turut menyaksikan Harry Kane menamatkan kemarau gol dalam lima perlawanan selepas meledak penalti pada minit ke-42.

Erik Lamela pula menggandakan jaringan di babak kedua (minit ke-76) sebelum Anthony Knockaert merapatkan jurang gol untuk Brighton pada penghujung perlawanan (minit ke-93).

“Pemain sudah banyak menderita dan kecewa. Tekanan terlalu tinggi, mereka mahu menghadiahkan keputusan yang baik untuk peminat, untuk diri sendiri dan untuk barisan kejurulatihan.

“Saya mahu melihat semangat yang ditunjukkan pemain pada kali ini akan diteruskan dalam perlawanan lain.

“Saya sangat gembira dengan sikap dan semangat mereka. Barulah kami sedar sebenarya kami memiliki kualiti yang baik, pemain yang hebat dan kami boleh bermain bola sepak yang menakjubkan," kata Pochettino.

Kemenangan itu melonjakkan kedudukan Spurs ke tangga kelima carta EPL, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Tags / Kata Kunci: Tottenham Hotspur
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan