"Pengadil bunuh permainan kami" - Bola Sepak | mStar

"Pengadil bunuh permainan kami"

Diterbitkan: Ahad, 23 September 2018 9:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: “Pengadil bunuh permainan kami”, demikian kata Lim Teong Kim.

Ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara itu ternyata tidak berpuas hati dengan layangan kad merah pengadil, Omar Mohamed Ahmed Hassan Al-Ali (UAE) kepada penyerang utama Luqman Hakim Shamsudin ketika aksi separuh masa kedua kerana dilihat seperti menerjah pemain lawan.

“Saya rasa pengadil telah bunuh permainan kami selepas kembali (babak kedua). Dia bagi kad merah.

“Kami telah tengok video itu. Jika dia faham bola sepak, ia bukan kad merah. Ia lebih kepada kad kuning, atau bukan.

“Saya tidak setuju. Keputusan itu memberi kesan kepada kami apabila hilang seorang pemain. Ia bukan mudah.

“Tetapi itulah bola sepak,” jelasnya selepas saingan bertemu Thailand bagi aksi kedua Kumpulan A Piala AFC B-16, Ahad.

Menurut Teong Kim, secara keseluruhan dia memuji pemain-pemainnya yang dianggap pejuang apabila kembali mengikat kedudukan 2-2 ketika ketinggalan gol.

“Gol pertama, mungkin penjaga gol kita bagi ‘hadiah’ kepada Thailand, tetapi selepas itu mereka kembali bermain dengan baik.

“Cuma selepas insiden itu semuanya berubah. Saya pasti jika bilangan pemain sama rata, kita ada peluang.

“Pun begitu saya bangga dengan mereka. Kita ada beberapa peluang selepas insiden itu, cuma tidak ada tuah hari ini,” tambahnya.

Mengenai pemain utamanya yang digantung satu perlawanan menghadapi Jepun, Rabu ini, Teong Kim menjelaskan masih ada beberapa pemain lagi yang boleh menggantikannya.

“Tidak ada masalah besar. Ini juga peluang kepada pemain-pemain lain untuk menunjukkan prestasi yang baik.

“Dalam pada itu situasi ini juga dapat mengajar pemain-pemain menghadapi situasi tekanan selepas ini,” tambahnya.

Perlawanan tersebut menyaksikan skuad negara tewas 4-2 kepada Thailand.

Skuad negara bakal berdepan dengan perlawanan terakhir kumpulan bertemu Jepun pada Rabu ini.

Sebagai rekod, skuad muda ini berjaya mencatat kemenangan pertama  bertemu Tajikistan 6-2 Khamis lalu.

Tags / Kata Kunci: Lim Teong Kim , AFC16 , Pengadil
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan