Kelantan harus guna kelebihan tempat sendiri tewaskan Sabah - Bola Sepak | mStar

Kelantan harus guna kelebihan tempat sendiri tewaskan Sabah

Diterbitkan: Khamis, 20 September 2018 5:16 PM

Mohd Farisham Ismail.

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Pemain Kelantan harus menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri pada pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu ini.

Ketua pasukan Kelantan Mohd Farisham Ismail berkata Kelantan perlu menang sebagai bekalan sebelum bertandang ke tempat lawan pada aksi timbal balik kempen piala itu.

"Jika kita mahu layak ke peringkat separuh akhir, kemenangan selesa pada perlawanan pertama amat penting untuk mengatur strategi pada perlawanan kedua (suku akhir kedua)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Kelantan mara ke pusingan suku akhir selepas berjaya menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C Ahad lepas di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mengulas lanjut, pemain paling senior dalam pasukan Kelantan itu menjangkakan pasukan Sabah bukan mudah untuk ditewaskan walaupun beraksi di tempat lawan.

"Kita (pemain) perlu mengambil kira rekod pasukan itu ketika beraksi pada peringkat kumpulan iaitu empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan ia cukup jelas pasukan itu 'liat' untuk ditewaskan.

"Mengulangi atau meningkatkan corak permainan secara berpasukan ketika menumpaskan Kedah akan membantu pasukan bagi mencipta kejutan pada perlawanan menentang Sabah nanti,” katanya.

Mohd Farisham berkata tanpa kerjasama sepasukan, Kelantan mungkin akan kecewa di hadapan penyokong sendiri biarpun melakukan pelbagai persediaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Kelantan , Sabah , Piala Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan