Piala AFC B16: "Tiada tekanan, guna peluang bermain di laman sendiri" - Bola Sepak | mStar

Piala AFC B16: "Tiada tekanan, guna peluang bermain di laman sendiri"

Diterbitkan: Rabu, 19 September 2018 2:03 PM

Teong Kim pada sidang media Kumpulan A Piala AFC BAwah 16 Tahun, Rabu. Foto: AFC

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:  Selaku tuan rumah kejohanan Piala AFC Bawah 16 Tahun (B-16), Lim Teong Kim menyifatkan skuad negara mempunyai kelebihan apabila bermain di tempat sendiri.

Ketua jurulatih skuad B-16 itu tidak menganggap kejohanan ini sebagai tekanan dan sentiasa sedia berdepan dengan setiap perlawanan.

“Selepas empat tahun melakukan persiapan, saya rasa ini adalah ‘game time’.

“Setiap jurulatih sudah pasti mahu melihat pasukan masing-masing menang dan layak ke Piala Dunia (B-17) tahun depan. Itu memang tidak dinafikan lagi.

“Tiada apa-apa rahsia untuk bertemu setiap pasukan dalam kumpulan ini kerana masing-masing sudah tahu kelebihan dan kekurangan sendiri.

“Bagi saya, harap pemain-pemain akan perbaiki kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini,” jelasnya ketika ditemui selepas sidang media Kumpulan A Piala AFC B-16.

Skuad muda dari Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) ini bakal berdepan dengan Tajikistan pada aksi pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil esok (Khamis).

“Sudah pasti perlawanan pertama mahu mengutip mata. Saya gembira bermain di tempat dan di depan penyokong-penyokong sendiri.

“Seperti saya katakan dulu dan sekarang, sebagai tuan rumah kita nak mencapai matlamat.

“Kita ingin menang bermula dengan satu permulaan yang positif.

“Pasukan yang berada dalam kumpulan kita di sini ingin layak dan tidak ada bezanya dengan kami. Dan tidak ada yang mustahil," ujarnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen berdepan Tajikistan pada 20 September diikuti aksi menentang Thailand (23 September) dan  Jepun (26 September) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan A, pasukan negara akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan B yang terdiri daripada pasukan Korea Utara, Oman, Yaman dan Jordan pada aksi suku akhir yang dijadualkan 30 September.

Sekiranya pasukan negara muncul juara Kumpulan A, perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, manakala jika naib juara akan beraksi di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Perlawanan separuh akhir pada 4 Oktober akan berlangsung di Stadium Nasional dan Stadium Petaling Jaya, manakala final pula pada 7 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk rekod, empat pasukan terakhir layak ke aksi Piala Dunia B-17 yang bakal berlangsung di Peru tahun depan.

Tags / Kata Kunci: Lim Teong Kim , PPBN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan