Jersi nombor 10 pasukan Argentina eksklusif untuk Messi sahaja - Bola Sepak | mStar

Jersi nombor 10 pasukan Argentina eksklusif untuk Messi sahaja

Diterbitkan: Rabu, 12 September 2018 9:18 AM

Biarpun sedang berehat dari pasukan kebangsaan, jersi nombor 10 tidak boleh digunakan oleh pemain lain. FOTO:BusinessInsider

(Ubah saiz teks)

PENGURUS Argentina, Lionel Scaloni menegaskan jersi nombor 10 dalam pasukan itu adalah eksklusif untuk Lionel Messi sahaja sehingga pemain itu memutuskan masa depannya di peringkat antarabangsa.

Messi yang mengetuai Argentina ke pusingan 16 di Piala Dunia, telah mengambil cuti daripada pasukan kebangsaan.

Namun, Argentina tidak membenarkan mana-mana pemain menggunakan jersi nombor 10 semasa ketiadaannya.

Ia berikutan pandangan penjaga gol Manchester United, Sergio Romero, yang kini bermain dengan Argentina bersuara mengenai penggunaan jersi tersebut jika ada yang mahu memakainya.

Bagaimanapun, ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan Argentina menentang Colombia di New Jersey pada Selasa, Scaloni tampil menjelaskan perkara itu.

"Kebanyakan pemain yang pergi ke Piala Dunia telah menyimpan nombor mereka.

"Dalam kes ini, jersi nombor 10 kekal milik Messi sehingga dia buat keputusan sama ada untuk teruskan atau tidak.

"Kami tidak mempunyai jawapan yang negatif dari dia. Saya telah membuat keputusan untuk tidak menggunakannya.

"Pada masa akan datang, kita akan melihat apa yang berlaku. Buat masa ini, tiada siapa yang memiliki nombor 10 kerana ia eksklusif untuk Messi," katanya.

Sementara itu, Scaloni juga berkata dia cuba membina satu pasukan dan satu gaya permainan yang terbaik jika Messi memutuskan untuk kembali beraksi dengan pasukan kebangsaan.

"Ia jelas apabila pemain terbaik di dunia tidak berada di padang, terutama jika dia Argentina, pasukannya kalah. Tidak ada keraguan mengenainya.

"Idea kami adalah untuk membina satu pasukan supaya jika Messi berada di dalamnya, dia berasa selesa. Sementara itu, kami ingin membina sekumpulan pemain muda yang memahami apa erti bermain dengan jersi ini dan maka kita akan melihat apa yang berlaku pada masa akan datang," katanya lagi. - ESPN.

Tags / Kata Kunci: Lionel Messi , Argentina , Lionel Scaloni
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan