Sukma: Insiden gaduh beri imej buruk sukan bola sepak - Bola Sepak | mStar

Sukma: Insiden gaduh beri imej buruk sukan bola sepak

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2018 7:27 PM

Pasukan Johor dan Terengganu bergaduh dalam sainga Kumpulan B acara Sukma di Perak.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Insiden pergaduhan membabitkan pemain Johor dan Terengganu dalam saingan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 hanya memberi imej buruk terhadap sukan itu selain memalukan diri sendiri.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengakui kesal dengan insiden terbabit yang menyaksikan perlawanan kedua Kumpulan B itu dicemari dengan layangan empat kad merah.

“Kita amat kesal dengan apa berlaku kerana melibatkan bola sepak yang sebelum ini pernah terjadi insiden yang sama. Harapan saya supaya pemain, atlet dan pegawai pasukan meletakkan semangat kesukanan sebagai elemen penting.

“Jangan sampai apa sahaja pertikaian yang berlaku menyebabkan kita gagal mengawal emosi dan seterusnya memalukan diri sendiri dan nama sukan itu,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Ahmad Shapawi menegaskan setiap isu atau ketidakpuasan hati yang timbul perlu diselesaikan secara profesional dan mengikut prosedur.

“Tidak puas hati gunakan saluran protes...jangan biarkan emosi menguasai diri,” katanya.Pada masa sama, Shapawi berkata tindakan disiplin akan diambil terhadap kedua-dua pasukan dan pemain yang didapati bersalah mencetuskan pergaduhan.

“Jawatankuasa Teknikal Sukma menyerahkan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tentang tindakan apa sepatutnya diambil. Difahamkan Johor sudah beri laporan kepada Lembaga Disiplin FAM dan FAM juga telah keluarkan surat pertuduhan kepada kedua-dua pasukan yang perlu dijawab esok (Rabu),” katanya.

Pada aksi di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, semalam, insiden pada masa tambahan (minit ke-90+4) itu berpunca selepas berlaku provokasi tolak menolak sebelum seorang pemain Johor mula menendang pemain lawan menyebabkan keadaan menjadi sedikit kecoh.

Insiden tersebut juga menyebabkan seorang penjaga garisan yang cuba mententeramkan keadaan terjatuh setelah ditolak beberapa pemain.

Pengadil Mohd Afiq Ahmad Nadzir melayangkan kad merah kepada Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf dari Terengganu, manakala dua kad merah kepada pemain Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar.

Perlawanan tersebut berakhir dengan Terengganu menang tipis 2-1 ke atas Johor.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukma , gaduh , Johor , Terengganu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan