'Durian runtuh' menanti penyokong Kelantan, MISC-Mifa - Bola Sepak | mStar

'Durian runtuh' menanti penyokong Kelantan, MISC-Mifa

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2018 10:47 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Berita gembira buat penyokong bola sepak tanah air yang menyaksikan perlawanan Kelantan menentang MISC-Mifa pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu pada Jumaat malam, kerana anda berpeluang mendapat durian runtuh.

Penyokong bukan sahaja dapat melihat pemain beraksi di padang tetapi mereka yang bertuah juga bakal membawa pulang hadiah menarik dan lumayan.

Antara hadiah utama yang menanti penyokong adalah sebuah motosikal, lima telefon bimbit dan 10 baucar percutian di Sweet Beach Resort, Tok Bali di Kelantan.

Selain itu, penyokong turut berpeluang memenangi hadiah seperti basikal, hamper, jersi dan tiket bas (destinasi terbuka) perjalanan pergi balik.

Program cabutan bertuah itu dianjurkan atas inisiatif Kelab Penyokong TRW dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61, Jumaat ini.

Menurut Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan, sebanyak 61 hadiah menanti penyokong yang hadir bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan kali ini.

"Sebanyak 61 hadiah yang disediakan itu adalah simbolik kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61. Saya berterima kasih kepada penaja dan Kelab Penyokong TRW yang menguruskan hadiah cabutan bertuah itu," katanya kepada mStar Online.

Menurut Bibi, semua penyokong berpeluang memenangi hadiah tersebut dengan syarat mereka perlu menyimpan keratan tiket perlawanan tersebut.

Antara hadiah yang bakal menanti penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Jumaat malam.

"Saya mengalu-alukan orang ramai supaya datang beramai-ramai menyokong pasukan Kelantan dan bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan.

"Ini juga merupakan salah satu cara untuk Kafa mendekati dan menghargai sokongan penyokong terhadap pasukan Kelantan selama ini," katanya.

Pada masa sama, Bibi berkata penyokong juga akan disajikan dengan pertunjukan bunga api sejurus selepas tamat perlawanan sebagai tanda meraikan sambutan hari bersejarah itu.

"Kita rancang nak buat pertunjukan bunga api tapi segalanya bergantung kepada kelulusan Malaysia Football League (MFL)," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan malam Jumaat, Bibi meminta pemain bermain bersungguh-sungguh memandangkan ia adalah perlawanan kedua terakhir yang bakal menentukan nasib Kelantan di pentas Piala Malaysia.

"Saya minta pemain tunjukkan bahawa mereka mampu bawa nama Kelantan. Sekurang-kurangnya mereka berusaha bersungguh-sungguh, jangan kecewakan hati penyokong lagi.

"Saya harap semua pemain betul-betul fokus. Keputusan dua perlawanan terakhir ini terletak ditangan pemain," katanya.

Kelantan menduduki tangga keempat Kumpulan C, manakala MISC-Mifa terus unggul di kedudukan teratas dengan mengutip tujuh mata.

Tags / Kata Kunci: Kelantan , Kafa , hadiah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan