Amalan nutrisi, celik Sains Sukan bermula di peringkat akar umbi - Bola Sepak | mStar

Amalan nutrisi, celik Sains Sukan bermula di peringkat akar umbi

Diterbitkan: Selasa, 28 Ogos 2018 5:47 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaya yakin amalan pemakanan seimbang akan membantu meningkatkan prestasi seseorang pemain bola sepak dengan baik.

Menurut Tan Cheng Hoe, sebenarnya amalan nutrisi amat penting bagi seseorang pemain bermula di awal usia.

"Sebenarnya ia bermula dari rumah kerana ia akan mudahkan kita untuk mendisiplinkan pemain dalam mengambil pemakanan seharian.

"Sebagai jurulatih kebangsaan, saya juga ada memantau pemakanan pemain, tetapi ia tidak dapat dilakukan dengan lebih teratur kerana tempoh mereka ada dengan saya agak singkat.

"Tetapi saya akui pemakanan yang seimbang dan sesuai dengan jenis sukan akan membantu seseorang atlet itu menjadi lebih baik dari segi kecergasan mereka," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Jelas pengendali berusia 50 tahun dari Kedah itu, nutrisi yang baik juga mampu mengelakkan pemain tercedera.

"Kemungkinan dalam 20 peratus pemakanan yang baik dapat mengatasi pemain daripada kecederaan.

"Bagi saya program 'Eat Right To Play Right' dapat membantu pemain-pemain muda mengetahui kepentingan pemakanan yang sesuai," tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Felda United, B. Sathianathan juga menegaskan pengambilan nutrisi atau celik Sains Sukan amat penting di peringkat akar umbi.

Sathia (kanan) bersama pemain-pemainnya ketika sesi latihan Felda United.

"Memang betul kerana apabila mereka berada dalam skuad Bawah 17 atau B-20  kita tidak berdepan dengan masalah yang berkaitan.

"Saya ambil contoh ketika Kejohanan Dunia Belia 1997 di Malaysia dulu, kita ada buat tinjauan dengan mengumpul sekumpulan pemain belia dan menghidangkan makanan yang seimbang.

"Ketika itu mereka tidak tahu mengambil menu yang sesuai dan ia menjadi masalah kepada pasukan kita berbanding negara-negara lain yang mementingkan nutrisi.

"Jadi jika program ini dimulakan dari awal, ia dapat di atasi dengan baik.

"Dan ia adalah salah satu persediaan awal kepada pemain kita yang akan atau terpilih ke luar negara untuk menyesuaikan diri dengan makanan ini.

"Jadi tidaklah mereka akan tetap cari nasi lemak setiap kali berada di luar negara," ujarnya.

Pada Selasa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melancarkan Program Eat Right To Play Right.

Jelas Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin, program ini dapat memberi manfaat berguna kepada anak-anak muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk mewakili pasukan kebangsaan.

“Dari segi Sains Sukan, sukan dan pemakanan adalah dua aspek yang begitu berkait rapat. Sudah tentulah dengan objektif pihak Zurich menerusi program 'Eat Right To Play Right' ini, ia adalah ilmu yang sangat baik kepada pemain-pemain muda di negara ini. Bukan bakat sahaja penting, malahan aspek pemakanan juga perlu dijaga.

"Untuk membentuk seseorang pemain bola sepak, ia perlu bermula sejak awal lagi bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya,” katanya dalam satu sidang media.

Tags / Kata Kunci: Tan Cheng Hoe , FAM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan