Liridon bawa tuah - Bola Sepak | mStar

Liridon bawa tuah

Diterbitkan: Ahad, 19 Ogos 2018 3:12 PM

Pemain Kedah Liridon Krasniqi cuba melepasi kawalan Kapten Pasukan Mifa Tinagaran Baskeran (kiri) pada perlawanan Liga Malaysia di Stadium Darul Aman malam Sabtu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KEHADIRAN Liridon Krasniqi dalam saingan Piala Malaysia menetang Mifa membawa tuah buat Kedah apabila berjaya melakar kemenangan 3-2 di Stadium Darul Aman malam Sabtu.

Dalam perlawanan tersebut, pemain dari Kosovo itu menjaringkan dua gol untuk memastikan skuad hijau kuning mengutip tiga mata.

Jurulatih Kedah, Azmi Aziz yang mengemudi skuad berkenaan selepas Mohd Nidzam Adzha Yusof direhatkan juga berjaya mengembalikan kegembiraan penyokong dengan kemenangan ini.

Menurut Azmi, kemenangan itu adalah hasil kerja berpasukan pemain yang berjuang sehingga ke minit akhir permainan untuk memastikan mereka tidak berkongsi mata.

"Kejayaan Kedah adalah usaha daripada kesemua pemain yang beraksi tidak kira muda atau pun tonggak utama apa yang penting ialah kerjasama daripada kesemua pemain bagi mencapai kejayaan dan sekali gus menghidupkan kembali peluang kita ke peringkat seterusnya.

"Kita juga perlu konsisten untuk terus melakar kejayaan selepas ini bagi memastikan tempat ke peringkat seterusnya. Oleh itu pemain perlu kekal fokus dan positif untuk perlawanan selepas ini.

"Semua pemain layak menerima pujian hasil usaha mereka termasuk pemain import yang menjaringkan gol untuk kita," katanya.

Azmi selain itu turut berpuas hati dengan aksi penjaga gol, Abdul Hadi Abdul Hamid yang cemerlang termasuk menggagalkan sepakan penalti lawan.

Jelasnya, selain jaringan, tindakan Abdul Hadi juga telah membantu kita memperoleh kemenagan ini dan memberi semangat serta moral kepada rakan sepasukan untuk terus berusaha sehingga ke akhir permainan.

Sementara itu, Liridon pula berharap penyokong akan kembali memenuhi stadium selepas skuadnya berjaya melakar kemenangan berkenaan.

Katanya, walaupun masih berasa sakit akibat kecederaan namun kepuasan yang dirasai hasil kemenangan itu menjadi tonik untuk dia kembali melakar lebih kemenangan buat Kedah selepas ini.

Tags / Kata Kunci: Liridon Krasniqi , Piala Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan