"Tiada rahsia, cuma kongsi ilmu di Johor bersama skuad negara" - Safawi - Bola Sepak | mStar

"Tiada rahsia, cuma kongsi ilmu di Johor bersama skuad negara" - Safawi

Diterbitkan: Sabtu, 18 Ogos 2018 3:15 PM

(Ubah saiz teks)

AWAL tahun ini, penyerang muda negara, Safawi Rasid berazam untuk mempamerkan aksi terbaik apabila diberi peluang menyertai kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dan skuad negara.

Azamnya itu bukan sekadar hasrat kosong apabila pada setiap perlawanan, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu telah membuktikannya dengan menampilkan persembahan terbaik.

Bermula aksi cemerlang bersama JDT, nama Safawi kerap kali dicatat sebagai salah seorang penjaring dalam Liga Malaysia.

Jelasnya, perjalanan kariernya setakat hari ini berjalan lancar dan dipermudahkan, lebih-lebih lagi dia antara penyumbang gol kemenangan dalam dua perlawanan peringkat Kumpulan E Sukan Asia yang sedang berlangsung di Indonesia.

"Alhamdullilah, prestasi karier saya setakat ini berada dalam keadaan baik dan dipermudahkan. Itu rezeki saya.

"Secara jujurnya, saya tidak ada apa-apa rahsia untuk beraksi dengan baik. Saya akui banyak belajar di Johor.

"Apa yang JDT ajar, saya akan gunakan ketika bersama skuad negara. Tambahan pula, rakan-rakan pasukan sentiasa membantu antara satu sama lain. Dan yang penting ikut arahan ketua jurulatih," ujarnya kepada mStar Online.


Safawi juga memberitahu, dia bersyukur dan teruja apabila dapat membantu negara mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Dalam bola sepak, ada turun naiknya. Jadi saya akan kekal fokus dan akan membuat kajian dengan menonton video perlawanan sebelum perlawanan.

"Selepas dua aksi peringkat kumpulan ini, saya secara peribadi ingin membantu pasukan negara layak ke separuh akhir Sukan Asia.

"Dengan itu ia membolehkan 'market' kami menjadi lebih baik," katanya.

Pemain berusia 21 tahun itu menyumbat dua gol kemenangan ke atas juara bertahan, Korea Selatan dengan keputusan 2-1.

Ia sekaligus merakam sejarah baharu buat bola sepak tahan air apabila berjaya menewaskan jaguh bola sepak Asia itu buat kali pertama selepas Sukan Asia 1974 dengan kemenangan 3-2 dan membawa pulang pingat gangsa.

Perlawanan akhir peringkat kumpulan bertemu Bahrain pada 20 Ogos ini.

Dua pasukan teratas bagi setiap lapan kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

Tags / Kata Kunci: Safawi Rasid
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan