Jangan cetus provokasi! - Bibi ingatkan penyokong TRW - Bola Sepak | mStar

Jangan cetus provokasi! - Bibi ingatkan penyokong TRW

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2018 11:49 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyokong Kelantan diingatkan supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi semasa bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, Jumaat malam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau tidak menolak ada cubaan pihak tertentu untuk mencetuskan kekecohan memandangkan perlawanan kedua-dua pasukan dianggap sebagai pertemuan panas.

"Saya mengalu-alukan penyokong datang beramai-ramai ke stadium dalam suasana harmoni.

"Saya juga mohon jangan cetuskan sebarang provokasi bagi mengelakkan Kafa berdepan hukuman denda," katanya kepada mStar Online.

Pada masa sama, Bibi berkata kawalan keselamatan akan dipertingkatkan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya beri jaminan kawalan keselamatan akan diperketatkan. Kita juga akan memastikan keselamatan pasukan pelawat sepanjang perlawanan berlangsung diberi keutamaan," katanya.

Usahawan batik itu turut memohon agar penyokong Kelantan hadir memberi sokongan kepada pasukan tuan rumah ketika berdepan juara Liga Super lima kali itu.

Pemain Kelantan berlatih sebagai persediaan bertemu JDT, Jumaat malam. Foto Facebook Kelantan FA.

"Datanglah beri sokongan kepada pasukan Kelantan kerana kita sudah di penghujung musim.

"Yang berlalu biarlah berlalu. Kita habiskan musim 2018 dengan sedikit sebanyak pengalaman untuk kita mengorak langkah lebih baik pada musim 2019," katanya.

Bibi berkata walaupun cabaran sukar menanti Kelantan, beliau mahu pemain bermain dengan sepenuh hati untuk mencipta kemenangan.

"Saya mahu pemain guna kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan bermain dengan sepenuh hati.

"Apabila berlaku kekalahan selalunya saya sahaja yang akan dipersalahkan.

"Jadi sepatutnya pemain jangan rasa selesa apabila berlaku kekalahan kerana masa depan pemain masih lagi jauh.

"Sebagai seorang pemain kejarlah kejayaan ketika ruang diberikan kepada mereka untuk beraksi," katanya.

Kelantan kini berada di tangga ketiga daripada empat pasukan Kumpulan C selepas sekadar memperoleh satu seri dan satu kekalahan.

Pasukan JDT pula menduduki tempat kedua, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu MISC-MIFA.

MISC-MIFA yang beraksi pada saingan Liga FAM mencipta kejutan apabila melakar kemenangan kedua-dua berturut-turut dalam aksi Kumpulan C dengan menundukkan JDT dan Kelantan.

Tags / Kata Kunci: Kelantan , JDT , Piala Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan