Piya, Nor Farhan nafi saman Kafa tapi... - Bola Sepak | mStar

Piya, Nor Farhan nafi saman Kafa tapi...

Diterbitkan: Ahad, 12 Ogos 2018 4:47 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua bekas tonggak utama Kelantan, Mohd Badhri Radzi dan Nor Farhan Muhammad menafikan khabar angin bahawa mereka mahu mengemukakan saman terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung isu tuntutan gaji.

Kedua-dua pemain itu ketika dihubungi mStar Online mengaku terkejut apabila nama mereka dikaitkan dengan spekulasi tersebut.

Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata beliau belum terfikir untuk membawa isu itu ke peringkat tertinggi buat masa ini kerana masih lagi boleh bersabar.

"Eh tak adalah sampai nak saman. Saya masih lagi boleh bersabar ketika ini cuma saya nak hak saya sahaja.

"Saya nak gaji saya. Bayaran (gaji) separuh sudah diterima pada April lalu. Jadi sekarang ada tunggakan sampai Ogos," katanya.

Jelas Piya, beliau berharap agar Kafa dapat menyelesaikan isu tersebut bagi membolehkannya membeli barang keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos ini.

"Raya dah nak dekat, duit tak ada macam mana nak beli lembu dan barang-barang lain lagi.

"Dengan nak bayar kereta, rumah dan bil elektrik pun dah warna merah," katanya.

Dakwa Piya, beliau masih tidak dimaklumkan mengenai statusnya dalam pasukan.

"Saya sendiri tak tahu status saya. Ikut kontrak saya masih lagi pemain Kelantan sehingga November ini.

"Oleh itu, saya nak tuntut hak saya iaitu gaji yang masih belum dibayar Kafa," katanya.

Nor Farhan Muhammad.

Sementara itu, Nor Farhan yang kini dipinjamkan ke kelab Liga FAM, D’AR Wanderers berkata beliau mengakui ada tunggakan gaji yang masih belum dibayar bagi tahun 2015 dan 2016.

Namun katanya, beliau enggan memanjangkan isu tersebut kerana memahami situasi yang melanda Kafa ketika ini.

"Khabar angin tu tak betul. Saya keluar dari Kelantan dengan cara baik... orang dah tak nak, buat apa kita nak terhegeh-hegeh.

"Saya sangat profesional. Jadi saya tak nak menambah keburukan tentang situasi yang melanda Kafa sekarang ini.

"Masalah gaji memang ada tapi saya akan gunakan saluran yang betul. Saya tak ada nak simpan dendam kerana banyak kebaikan dibuat majikan saya sepanjang saya bersama Kelantan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menuntut bayaran tunggakan gaji itu, Nor Farhan berkata beliau mahu menyelesaikan isu tersebut di luar mahkamah.

"Kalau boleh saya sebenarnya mahu isu ini diselesaikan di luar mahkamah. Setakat ini saya masih belum buat apa-apa tuntutan lagi sebab saya tak nak panjangkan lagi isu ini.

"Kita tunggu dan lihat tindakan yang sepatutnya nanti. Saya akan jumpa dengan orang yang sepatutnya. Buat masa ini saya masih lagi menghormati Puan Bibi (Presiden Kafa)," katanya.

Bagaimanapun beliau mengambil pendekatan bahawa hutang masih perlu dibayar walaupun tidak dituntut.

"Saya takkan hangatkan lagi keadaan. Biar keadaan reda dulu sebab bukan saya seorang sahaja dia kena tanggung, malah zaman-zaman sebelum saya lagi pun belum diselesaikan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Piya , Nor Farhan , Kafa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan