"Saya kini jurulatih bukan pengurus" - Mourinho - Bola Sepak | mStar

"Saya kini jurulatih bukan pengurus" - Mourinho

Diterbitkan: Sabtu, 11 Ogos 2018 7:40 AM

(Ubah saiz teks)

JOSE Mourinho mendakwa bola sepak sudah berubah dan masa depannya bersama Manchester United lebih kepada tugas sebagai jurulatih berbanding pengurus pasukan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas kemenangan 2-1 ke atas Leicester City pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam Jumaat, Mourinho menerima kegagalan United membawa masuk muka baharu dalam radarnya.

United membelanjakan kira-kira 70 juta pound sterling untuk mendapatkan khidmat Fred, Diogo Dalot dan penjaga gol ketiga, Lee Grant.

Namun Mourinho kecewa apabila pihak pengurusan United tidak memenuhi impiannya untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Leicester, Harry Maguire.

Mourinho kini mengakui United akan bergelut dengan musim yang sukar jika skuad itu tidak diperkukuhkan.

"Ia akan jadi musim sukar untuk sesiapa sahaja, bukan hanya untuk kami.

"Saya ada perancangan untuk tempoh beberapa bulan dan saya dapati dengan situasi sekarang, saya fikir segalanya sudah berakhir, jendela perpindahan ditutup.

"Itu pengurusan bola sepak. Saya fikir ia berubah dan pengurus sepatutnya dipanggil ketua jurulatih. Kita perlu menunggu sehingga akhir November untuk mengetahui sama ada boleh memberi saingan sengit pada kejohanan ini," katanya.

Mourinho percaya United sepatutnya berpuas hati apabila berjaya menundukkan Leicester yang berbelanja lebih besar daripada mereka pada jendela perpindahan pemain.

Jaringan penalti Paul Pogba dan gol saat akhir Luke Shaw memberi kemenangan kepada United manakala gol tunggal Leicester dijaringkan Jamie Vardy.

"Amat penting untuk memang dan kami beraksi dengan baik ke atas pasukan yang berbelanja lebih besar daripada kami.

"Kami perlu menggunakan pemain yang ada. Setiap pasukan adalah pasukan hebat, lupakan nama mereka, lupakan sejarah mereka, lupakan jersi mereka.

"Saya amat berbangga dengan Luke Shaw. Dia melakukan satu kesalahan dalam tempoh 90 minit. Dia melalui pra musim yang bagus," katanya.

 

Tags / Kata Kunci: Jose Mourinho , Manchester United
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan