Bibi enggan lepaskan jawatan - Bola Sepak | mStar

Bibi enggan lepaskan jawatan

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2018 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Bibi Ramjani Ilias Khan kekal dengan pendirian tidak akan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sehingga tempoh perkhidmatan beliau berakhir pada 2021.

Malah Bibi Ramjanji menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana pihak yang mahu beliau berundur setelah dikatakan gagal mengendalikan tadbir urus persatuan itu dengan baik.

“Rasanya kalau rumah tangga kita tak mampu (urus), kita kena berusahalah (selamatkan) bukan terus cerai.

“(Bukan) kemudian beri isteri kita kepada orang yang lebih mampu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang menyarankan individu yang tidak lagi mampu mentadbir badan induk itu berundur demi kepentingan bola sepak Kelantan.

Menurutnya, semua pihak tidak sepatutnya menuding jari terhadap beliau di sebalik kegagalan Kelantan musim ini selepas berhempas pulas berusaha menyelesaikan hutang yang membelenggu persatuan berkenaan, hampir setahun lalu.

“Datang bantu kalau betul-betul sayangkan Kafa. Saya pernah menaja Kafa dahulu walaupun jumlah sedikit tapi demi nak bantu bola sepak Kelantan.

“Tahun ini kita dah berjaya, tapi berjaya selesaikan bayar hutang dan mampu mendapatkan lesen (Liga Malaysia) walaupun bersyarat,” katanya.

Jelas Bibi Ramjani lagi, beliau mengambil tanggungjawab penuh terhadap Kafa selepas diberi mandat oleh ahli gabungan, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dalam Kongres Pemilihan bagi penggal 2017-2021, September tahun lalu.

“Saya dahulu pun nak masuk (bertanding) tanya khabar (pandangan) beliau (Annuar) terlebih dahulu. Jadi tak salah kalau ada pihak bertanya khabar, bukan pergi kepada PBJ untuk mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa).

“Rasanya PBJ lebih rasional untuk perhalusi perkara ini kerana mereka yang boleh buat pemilihan dan peluang ini telah diberikan kepada saya sehingga 2021,” katanya.

Tags / Kata Kunci: Bibi , Kafa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan