Selamat tinggal Liga Super! - Bola Sepak | mStar

Selamat tinggal Liga Super!

Diterbitkan: Isnin, 23 Julai 2018 7:33 AM

Pemain Kuala Lumpur Guilherme De Paula Lucrecio (kiri) diasak dua pemain Negeri Sembilan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Ahad. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Negeri Sembilan tersingkir daripada saingan Liga Super musim depan apabila gagal keluar daripada zon penyingkiran selepas tewas 1-2 di tangan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Skuad bimbingan Mario Licinio Guerreiro Lemos itu yang ‘diangkat' beraksi di Liga Super daripada Liga Premier musim ini hanya mengutip 15 mata setelah mengharungi 21 perlawanan dengan merekodkan empat kemenangan dan tiga keputusan seri.

Pada aksi tersebut, pertahanan Kuala Lumpur Bobbirjon Akbarov terlebih dahulu meletakkan skuad ‘The City Boys' di hadapan pada minit ke-42, namun Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian menerusi Alex De Moraes Gomes.

Keputusan 1-1 dilihat kekal sehingga ke wisel penamat sebelum bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin meledak gol kemenangan Kuala Lumpur pada minit ke-87 untuk memberikan tiga mata penuh kepada pasukan tuan rumah.

Di Stadium Perak, Ipoh, pula menyaksikan Perak terus kekal di tangga kedua Liga Super meskipun terikat 0-0 berdepan Kedah.

Sementara itu, dalam aksi Liga Premier, kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang membolehkan UKM FC terus kekal dalam saingan itu musim hadapan.

Gol UKM FC dijaringkan Mohd Irwan Syazmin Wahab pada minit ke-20 diikuti gol kedua oleh kapten pasukan, Asnan Ahmad pada minit ke-62 sebelum Redouane Zerzouri meledak gol ketiga UKM FC pada minit ke-71 manakala gol Pulau Pinang hadir menerusi Mohd Raimi Md.Nor pada minit ke-80.

Sabah pula memanfaatkan beraksi di laman sendiri untuk menundukkan pasukan di tangga kedua liga, Felcra FC 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas.

Maxsius Musa meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-26 sebelum dua gol pada minit ke-45 dan minit ke-46 oleh Hector Omar Ramos Lebrom mengesahkan kemenangan bergaya Sabah sekali gus melonjakkan pasukan itu ke kedudukan keempat liga.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Liga Super , Negeri Sembilan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan