Stuart dilantik Setiausaha Agung FAM yang baharu - Bola Sepak | mStar

Stuart dilantik Setiausaha Agung FAM yang baharu

Diterbitkan: Ahad, 15 Julai 2018 3:35 PM

Stuart Michael Ramalingam.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden Dentsu Sports Asia, Stuart Michael Ramalingam dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Stuart dipilih berdasarkan pengalamannya selama 10 tahun dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Dengan pengalaman di Fifa, AFC dan FAM serta pengalaman empat tahun dalam dunia korporat dan juga agensi sukan terbesar di dunia, Stuart dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menjadi Setiausaha Agung FAM dan diyakini mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada FAM.

“Selaku Presiden FAM, saya amat berharap agar beliau dapat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Ahad.

Hamidin berkata, Stuart yang berusia 41 tahun akan memulakan tugasnya pada Isnin, 16 Julai.

Stuart dilantik oleh Fifa pada 2008 sebagai konsultan profesionalisasi yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan Fifa dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemaskini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran Fifa (Futuro III).

Selepas empat tahun, Stuart dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Liga Super Malaysia (MSL) pada 2010 and diberi mandat untuk merencanakan struktur FAM and juga aspek-aspek komersial persatuan itu.

Pada 2012, Stuart menyertai AFC dengan memegang pelbagai jawatan pengarah termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC dan kejohanan-kejohanan Futsal AFC), pengarah pemasaran dan pengarah tanggungjawab sosial.

Stuart kemudian menjadi konsultan kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia pada 2014.

Di Dentsu Sports, Stuart kemudian mengambil alih jawatan naib presiden selama empat tahun sehingga 2018 dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jawatan Setiausaha Agung FAM menjadi perhatian selepas Hamidin sah memegang jawatan nombor satu FAM, selepas pencabarnya, bekas Presiden Bola Sepak  Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, membuat keputusan menarik diri.

Hamidin menduduki kerusi panas tersebut, selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengosongkan itu pada Mac lalu.

Tags / Kata Kunci: Stuart Michael Ramalingam , FAM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan