Final Piala AFF: Tiada siaran langsung, cuma FB Live - Bola Sepak | mStar

Final Piala AFF: Tiada siaran langsung, cuma FB Live

Diterbitkan: Sabtu, 14 Julai 2018 12:37 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Harapan rakyat Malaysia untuk menyaksikan pertembungan Malaysia dan juara dua kali Myanmar pada final Kejuaraan AFF 2018 Bawah 19 tahun (B-19) di kaca televisyen malam ini nampaknya tidak kesampaian.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan aksi final itu tidak dapat disiarkan secara langsung menerusi RTM atas faktor kesuntukan masa.

"Saya telah menghubungi Kementerian Komunikasi, dan pada masa yang suntuk ini mereka tidak dapat menyiarkan siaran langsung di RTM," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Bagaimanapun Syed Saddiq berkata penyokong bola sepak tanah air boleh menonton pertemuan sengit itu menerusi Facebook Live.

"Alternatively, peminat bola sepak Malaysia boleh tonton di FB Live Http: www.indosiar.com/live," katanya.

Mengenai isu provokasi penyokong Indonesia terhadap skuad B-19 negara, Syed Saddiq memaklumkan rakan sejawatannya, Imam Nahrawi memberi jaminan pihak yang terlibat akan diambil tindakan tegas.

"Siapa pun, sesama atlet harus saling bersikap profesional. Saya harap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) harus bertindak tegas, profesional, dan harus memberikan jaminan keamanan, keselamatan, kepada siapa pun.

Keratan foto menunjukkan penyokong Indonesia menyerbu kaunter tiket pertemuan separuh akhir antara Malaysia bertemu Indonesia.

"Jaminan ini tidak cuma melibatkan lokasi kejadian di Sidorajo, namun juga sepanjang berlangsungnya Sukan Asia, di semua perlawanan, pihak berkuasa harus memberikan serta menjamin semuanya dalam keadaan selamat," kata Syed Saddiq yang memetik kenyataan Imam Nahrawi.

Malam Khamis lalu, penonton Indonesia bertindak menimbulkan kekecohan di stadium, ketika saingan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 B-19 yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata Imam Nahrawi turut memohon maaf atas insiden yang berlaku dan mahukan sukan diraikan bersama dengan penuh semangat.

"Insya-Allah selepas ini kami akan sentiasa bekerjasama rapat demi pembangunan sukan dan belia di rantau Asia Tenggara ini.

"Saya dan Pak Imam bukan sahaja berkongsi kementerian yang sama malah berkongsi idola yang sama, Datuk Siti Nurhaliza," katanya.

Malaysia sekali lagi bakal mengharapkan tuah Stadium Gelora Delta Sidoarjo apabila skuad B-19 membuat perhitungan terakhir bertemu Myanmar, malam ini.

Ini kali keenam skuad muda negara layak ke final, selepas hanya bergelar naib juara pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

Edisi 2017 di Myanmar menyaksikan mereka menewaskan tuan rumah 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti apabila terikat tanpa jaringan selepas tamat aksi sebenar namun tunduk 2-0 di tangan Thailand pada aksi final.

Tags / Kata Kunci: Syed Saddiq , RTM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan