TMJ harap Hamidin dapat selesai 'masalah' NFDP - Bola Sepak | mStar

TMJ harap Hamidin dapat selesai 'masalah' NFDP

Diterbitkan: Sabtu, 14 Julai 2018 3:06 PM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerima cenderahati daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Hamidin (kanan), sebagai tanda penghargaan kepada mantan Presiden FAM itu pada Kongres FAM ke-54 pada Sabtu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Belum ada ilham lagi", demikian ujar presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai calon bagi mengisi jawatan setiausaha agung.

Sebelum ini, Hamidin memegang jawatan penting selaku setiausaha agung FAM sejak 27 Jun 2013.

"Belum lantik setiausaha agung lagi, saya belum ada ilham. Saya tanya Tunku Mahkota (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) pun belum dapat ilham.

"Dalam masa terdekat saya akan umumkan," jelasnya pada sidang media selepas Kongres FAM Ke-54 pada Sabtu.

Sementara itu, Hamidin yang secara rasminya menduduki kerusi utama badan induk bola sepak negara ini memberitahu sudah mempunyai perancangan penting yang disenaraikan.

"Tiga elemen penting yang saya akan beri keutamaan dan tumpuan segera adalah mengenai perestasi dan peningkatan pasukan kebangsaan.

"Program akar umbi termasuk yang melibatkan NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) dan kementerian pendidikan.

"Dan ketiga menjanakan sumber pembiayaan kewangan yang stabil dan kukuh kepada FAM dan melonjakkan bola sepak negara.

"Bagaimanapun kesemua elemen itu saya tidak boleh bagi detail (penjelasan) buat sekarang," jelasnya.

Sementara itu, Tunku Ismail yang turut hadir pada sidang media itu berharap presiden baharu akan teruskan dengan momentum sedia ada untuk meningkatkan lagi pasukan kebangsaan.

"Itu harus diberi keutamaan terhadap pimpinan baharu FAM.

"Dalam masa sama saya mahu melihat presiden juga akan betul-betul bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) yang baharu untuk memastikan ada sikap kerjasama, menghormati antara satu sama lain.

"Saya yakin semua media pun sedar ada masalah dengan NFDP. Sebelum ni pun KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tak main peranan dalam memastikan ada kerjasama antara FAM dan NFDP yang sepatutnya.

"Contohnya kita ada Pengarah Teknikal Pembangunan Belia, Peter De Roo dan dia tidak dapat akses atau kerjasama kerana ramai yang anggap NFDP nak jalankan  'like independent show'. Oleh itu kita hanya boleh nasihat dan beri pandangan tetapi respon sangat negatif pada masa itu.

"Tetapi kerana agenda untuk perbaiki apa sahaja kelemahan bola sepak tanah air, diharap semua pihak beri kerjasama yang sepatutnya," jelasnya.

Malah beliau juga mendedahkan telah beritahu menteri berkenaan bahawa NFDP tidak bekerjasama dengan De Roo.

"Dan NFDP ada masalah juga dengan persatuan negeri seperti tidak sediakan kemudahan bola sepak atau mainkan peranan mereka.

"Jadi di sini FAM, NFDP dan menteri belia dan sukan serta semua persatuan dari negeri lain harus beri kerjasama penuh supaya agenda atau misi kita dapat dilaksanakan.

"Kalau tidak sampai ke mana-mana akan berkelahi," jelasnya.

Sebagai rekod, Hamidin dilantik sebagai presiden baharu untuk baki penggal 2017-2021 selepas Tunku Ismai meletak jawatan pada 15 Mac 2018.

Namun beliau kekal sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Tags / Kata Kunci: TMJ , Hamdin , presiden FAM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan