JDT juara kali kelima - Bola Sepak | mStar

JDT juara kali kelima

Diterbitkan: Rabu, 11 Julai 2018 7:00 AM

Pemain dan pegawai pasukan JDT meraikan kejayaan menewaskan pasukan Perak dan dinobatkan juara unifi Liga Super 2018 di Stadium Perak, malam Selasa. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan dominasi selaku pasukan terbaik di negara ini, setelah mempertahankan kejuaraan liga berkenaan buat musim kelima berturut-turut sejak 2014.

Kemenangan tipis 2-1 dilakar JDT ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi, menyaksikan skuad Harimau Selatan muncul juara liga musim ini dengan kelebihan 16 mata ke atas pasukan tuan rumah, walaupun mempunyai baki empat perlawanan.

Pada aksi di Ipoh, Perak terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi jaringan Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-72 sebelum JDT bangkit melakar dua gol pantas hasil sentuhan penyudah pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun pada minit ke-74 dan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-83.

Terengganu FC (TFC I) pula merampas tangga keempat daripada juara Piala FA, Pahang setelah mengatasi Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula pada minit ke-32, sebelum skuad Penyu meraih tiga gol hasil sumbangan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-38, Igor Zonjic (minit ke-52) dan Abdul Latiff Suhaimi pada minit ke-90.

Melaka pula naik dua anak tangga ke kedudukan ketujuh liga setelah mengejutkan pasukan tangga ketiga, Kedah 4-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Empat gol pasukan tuan rumah disumbangkan Khair Muhammad Jefri Jones pada minit ke-34, R. Gopinathan (minit ke-37 dan ke-62) serta Ifedayo Olusegun pada minit ke-84.

Gol tunggal Kedah dijaringkan penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-52. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: JDT , Liga Super
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan