Ramazotti penyelamat PKNS - Bola Sepak | mStar

Ramazotti penyelamat PKNS

Diterbitkan: Isnin, 11 Jun 2018 7:59 AM

Ramazotti De Quadros (tengah) meraikan gol pertamanya pada perlawanan Liga Super 2018 antara pasukan PKNS FC bertemu pasukan Selangor di Stadium Shah Alam pada Ahad malam. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penyerang import PKNS FC, Rafael Ramazotti muncul penyelamat apabila dua jaringannya berjaya mengikat Selangor 2-2 pada aksi tunggal Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Ahad malam.

Sebaik aksi bermula, PKNS FC bermula garang dengan beberapa gerakan menarik untuk mengancam gawang Selangor yang dikawal Mohd Khairulazhan Mohd Khalid sebelum Ramazotti membuka tirai jaringan pada minit ke-18.

Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan dengan Selangor lebih menonjol dalam usaha memburu gol penyamaan, namun serangan mereka mudah dipatahkan pertahanan PKNS FC yang diketuai Zachary Anderson untuk menjadikan kedudukan kekal 1-0 berpihak kepada pasukan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gagal mengubah kedudukan sehingga pada minit ke-79 apabila Rufino Segovia berjaya melepaskan rembatan kencang setelah bijak mengelecek tiga pertahanan PKNS FC dalam kotak penalti.

Seakan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1, pemain muda pasukan pelawat, D. Kugan menyumbat gol kedua pada masa kecederaan untuk meletakkan Selangor di hadapan.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Ramazotti berjaya menghukum kealpaan benteng pertahanan Selangor untuk menjaringkan gol kedua peribadinya sekali gus menghadiahkan satu mata buat PKNS.

Keputusan malam ini menyaksikan PKNS FC dan Selangor kekal di kedudukan keenam dan kelapan liga, dengan masing-masing mengumpul 20 dan 18 mata.- Bernama

Tags / Kata Kunci: PKNS , Liga Super
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan