Perak mara ke tangga kedua Liga Super - Bola Sepak | mStar

Perak mara ke tangga kedua Liga Super

Diterbitkan: Ahad, 10 Jun 2018 7:45 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perak merampas tangga kedua Liga Super dari Pahang selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu malam.

Kemenangan kelapan tersebut menyaksikan skuad ‘The Bos Gaurus' mengumpul 27 mata selepas beraksi 15 perlawanan setakat ini.Dua gol pasukan Perak dijaringkan Brendan Gan pada minit ke-55 dan pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos pada minit ke-84.

Terengganu FC (TFC) pula naik dua anak tangga ke kedudukan kelima liga setelah mengalahkan wakil Perak, PKNP FC 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada perlawanan berkenaan, skuad Penyu mendahului 2-0 hasil jaringan Kipre Brice Hermann Tchetche pada minit ke-67 dan Lee Andrew Tuck, selang tiga minit kemudian, sebelum pemain import dari Korea Selatan, Kim Sang Woo mengurangkan defisit jaringan untuk PKNP FC pada minit ke-78.

Kuala Lumpur pula naik tiga anak tangga ke kedudukan ketujuh liga selepas bangkit daripda ketinggalan sebelum menewaskan Melaka 4-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Empat gol pasukan pelawat dijaringkan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-30 dan ke-82, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak (minit ke-55) dan pemain import dari Brazil, Guilherme De Paula Lucrecio pada minit ke-63.

Dua gol pasukan Melaka disumbangkan pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi Jeon seawal minit kelima dan ke-42.

Kuala Lumpur sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Zhafri Yahya dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-70.

Dalam aksi tunggal Liga Premier, pasukan MIFA menang tipis 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan R. Barathkumar pada minit ke-25 dan pemain import dari Brazil, Elizeu Araujo de Melo Batista pada minit ke-35, manakala gol tunggal Sarawak oleh Bobby Gonzales pada minit ke-46 menerusi sepakan penalti.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Liga Super , Perak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan