Felda United perlu ganda usaha untuk muncul juara - Bola Sepak | mStar

Felda United perlu ganda usaha untuk muncul juara

Diterbitkan: Sabtu, 9 Jun 2018 2:51 PM

Pemain Felda United, Thiago Augusto Fernandes (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Terengganu II dalam perlawanan Liga Perdana 2018 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, malam Jumaat. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

MARAN: Skuad Felda United perlu menggandakan usaha jika mereka benar-benar berazam untuk merangkul gelaran juara Liga Premier musim ini.

Ketua Jurulatihnya B. Satiananthan berkata masih terdapat beberapa kelemahan dalam skuad bimbingannya yang boleh diperbaiki untuk mencatat sekurang-kurangnya tiga kemenangan bagi menjarakkan mata daripada pasukan di tangga kedua.

"Kejuaraan Liga Premier semakin hampir tetapi ia masih belum boleh dicapai oleh Felda United.

"Permainan bola sepak sekarang tidak sama seperti dahulu di mana para pemain perlu sentiasa berusaha keras untuk mengutip mata," katanya selepas perlawanan menentang Terengganu FC II di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, Jumaat.

Pada perlawanan itu, The Fighters berjaya menundukkan pasukan pelawat dengan jaringan 3-2 untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Mengulas mengenai aksi bertemu Terengganu FC II, Satiananthan berkata anak buahnya bermula dengan baik sebelum ia tidak berapa menjadi pada 30 minit terakhir babak pertama sehingga menyebabkan gawang Felda United dibolosi oleh Bruno Junichi Suzuki.

"Pada separuh masa kedua pula, pemain dilihat lebih tenang dan melakukan hantaran dengan baik, berbeza babak pertama yang menyaksikan kita tidak banyak bergerak.

"...tapi saya gembira kita mendapat tiga gol walaupun sepatutnya lebih banyak gol boleh dijaringkan," katanya.

Satiananthan juga memuji aksi pemain lawan yang hanya tewas tipis, menunjukkan mereka memiliki semangat juang tinggi untuk memberi saingan.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC II Mustaffa Kamal Abdul Wahab mengakui kecewa dengan kekalahan anak buahnya kerana telah mendahului pada awal permainan.

"Kita sudah mendahului tetapi Felda United berjaya mencatat kemenangan akibat kecuaian di bahagian pertahanan.

"Gol pada minit ke-46 yang dijaringkan oleh Christie Jayaseelan adalah titik kebangkitan mereka dan akhirnya kita gagal mengutip sebarang mata," katanya.

Mustaffa berkata pasukannya perlu berusaha 200 peratus pada lima perlawanan terakhir selepas ini untuk memastikan mereka tidak tersingkir daripada saingan Liga Premier musim depan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Felda United , Liga Premier
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan