Yusri pilih kekalkan TRW di Liga Super bukan Piya - Bola Sepak | mStar

Yusri pilih kekalkan TRW di Liga Super bukan Piya

Diterbitkan: Jumaat, 8 Jun 2018 7:29 AM

Piya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Nasib bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya untuk kembali memperkuat pasukan itu selepas peletakan jawatan ketua jurulatih Fajer Ibrahim masih menjadi teka-teki.

Jurulatih sementara Kelantan, Yusri Che Lah ketika dihubungi mStar Online mengambil pendekatan untuk kunci mulut mengenai perkara itu.

Sebaliknya, beliau hanya mahu fokus membantu skuad The Red Warriors (TRW) kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Ini satu perkara yang pada saya tak perlu ditanya kerana ada perkara yang lebih mustahak perlu diberi tumpuan.

"Saya hanya mahu fokus kepada cara bagaimana pasukan nak mengelak daripada jatuh ke Liga Perdana," katanya.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau menyerahkan kepada Yusri untuk membuat keputusan mengenai nasib Piya.

Ini berikutan timbul desakan penyokong Kelantan yang mahukan Piya diberikan peluang kedua beraksi bersama pasukan itu musim ini.

"Mengenai Piya, ia bergantung kepada jurulatih... saya serahkan kepada Yusri untuk buat keputusan.

"Dia lebih mengetahui siapa pemain yang diperlukannya untuk mengharungi baki perlawanan musim ini," kata Bibi.

Yusri ketika ditanya mengenai peluang Kelantan keluar dari zon penyingkiran,  berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku.

"Kenapa tidak? Memang perbezaan mata agak besar tetapi kami masih ada lapan lagi perlawanan yang perlu diharungi.

"Jadi pemain harus faham situasi ini dan perlu mengelak daripada menerima kekalahan selain mengharapkan pasukan yang berada di atas kami tercicir mata," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Jumaat malam, Yusri mengingatkan anak buahnya supaya tidak selesa dengan kemenangan ke atas pasukan tuan rumah pada Selasa lalu.

"Dalam bola macam-macam boleh berlaku. Oleh itu saya ingin mengingatkan pemain supaya sentiasa fokus dan kekal berdisiplin dalam perlawanan malam esok (Jumaat).

"Ini kerana satu kesilapan sahaja kita pasti akan dihukum oleh Kedah," katanya.

Pada perlawanan Selasa lepas TRW berjaya memperolehi kemenangan pertama di tempat lawan musim ini apabila menewaskan Kedah 2-1.

Kelantan kini berada pada kedudukan tercorot dengan 11 mata hasil daripada tiga kemenangan, dua seri dan sembilan kekalahan selepas 13  perlawanan.

Tags / Kata Kunci: Piya , Mohd Badhri Radzi , Kafa , Yusri Che Lah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan