Ejen Salah nafi terlibat rundingan dengan Barcelona - Bola Sepak | mStar

Ejen Salah nafi terlibat rundingan dengan Barcelona

Diterbitkan: Khamis, 7 Jun 2018 4:29 PM

(Ubah saiz teks)

EJEN Mohamed Salah menafikan bintang sensasi Liverpool itu menerima tawaran daripada kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Salah kini diangkat sebagai pemain paling dikehendaki susulan rekod cemerlangnya bersama Liverpool apabila meledakkan 44 gol dalam semua perlawanan pada musim pertamanya di Anfield.

Malah beliau merupakan tonggak utama yang membantu Liverpool mara ke aksi final Liga Juara-Juara.

Laporan media di Sepanyol mendakwa wakil bekas pemain Roma itu mengadakan beberapa rundingan dengan lembaga pengarah Barcelona dan menawarkan peluang kepada kelab Sepanyol itu untuk mendapatkan khidmat Salah pada musim panas ini.

Menurut laporan itu, Barcelona mengetahui bahawa Salah berminat untuk berhijrah ke Camp Nou dengan kelab tersebut sedang berusaha keras untuk merealisasikan perpindahan tersebut.

Ejen Salah, Ramy Abbas Issa menerusi Twitternya menegaskan dia tidak terlibat dalam sebarang rundingan dengan Barcelona.

Salah dibawa masuk ke Anfield dengan nilai perpindahan sebanyak 36.9 juta pound sterling pada musim panas lalu.

Harga itu dijangka meningkat kepada 43.9 juta pound sterling termasuk beberapa kos tambahan selepas pemain itu menyinar di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menegaskan dia tidak akan melayan sebarang bidaan yang dikemukakan terhadap Salah.

Tags / Kata Kunci: Mohamed Salah , Liverpool , Barcelona
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan