Punca Zidane letak jawatan didedah - Bola Sepak | mStar

Punca Zidane letak jawatan didedah

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2018 10:04 AM

(Ubah saiz teks)

KEPUTUSAN Zinedine Zidane meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid pada minggu lalu amat mengejutkan ramai pihak.

Terbaharu The Sun melaporkan, punca peletakan jawatan Zidane adalah kerana dia bertengkar dengan Presiden Real, Florentino Perez berhubung polisi perpindahan Eden Hazard dan David de Gea.

Selepas memacu Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara kali ketiga dengan menundukkan Liverpool 3-1 pada aksi final 27 Mei lalu, Zidane tiba-tiba membuat keputusan angkat kaki.

Perez mengakui keputusan Zidane sesuatu yang tidak dijangka manakala pengendali kelahiran Perancis itu enggan mendedahkan punca dia meletak jawatan.

The Sun mendakwa Zidane dan Perez bertengkar pada petang sebelum bekas legenda Perancis itu mengumumkan peletakan jawatannya.

Menurut laporan itu, Zidane meminta Perez supaya membawa masuk Hazard tetapi Perez enggan mengikut kehendaknya.

Malah Perez turut memaklumkan kepada Zidane bahawa beliau mahu mendapatkan khidmat De Gea.

Namun Zidane lebih berminat untuk mengekalkan Keylor Navas.

Zidane akhirnya menamatkan pertengkaran itu dengan berkata kepada Perez:"Saya sudah selesai. Anda ambil tugas jaga pasukan."

Madrid masih belum melantik pengurus baharu dan dijangka mahu mendapatkan khidmat pengurus Hoffenheim, Julian Nagelsmann.

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino turut dalam senarai pendek meskipun pengendali berusia 46 tahun itu baharu sahaja menandatangani kontrak selama lima tahun dengan Spurs.

Tags / Kata Kunci: Zinedine Zidane , Real Madrid
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan