Mane setuju syarat sertai Real Madrid? - Bola Sepak | mStar

Mane setuju syarat sertai Real Madrid?

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2018 9:44 AM

(Ubah saiz teks)

SADIO Mane mencapai persetujuan untuk menyertai Real Madrid dari Liverpool, menurut laporan di Perancis.

Pemain berusia 26 tahun itu memainkan peranan penting untuk memantapkan jentera serangan Jurgen Klopp bergandingan dengan Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Mane menjaringkan 20 gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara musim ini.

Menurut laporan France Football, Mane semakin hampir untuk menyertai Real Madrid selepas bersetuju dengan tawaran kelab gergasi Sepanyol itu.

Namun perpindahan bintang Senegal itu ke Santiago Bernabeu mulai samar susulan peletakan jawatan Zinedine Zidane minggu lalu.

Mane sepatutnya menjadi pemain pertama dibawa masuk ke Bernabeu pada musim panas ini tetapi keputusan Zidane meletak jawatan merumitkan lagi perpindahan itu.

France Football melaporkan Zidane memainkan peranan besar dalam keputusan Madrid untuk membawa masuk Mane.

Namun perpindahan itu terpaksa ditangguhkan sehingga pengurus baharu dilantik.

Laporan itu turut mendakwa Madrid masih belum mencapai kata sepakat berhubung yuran perpindahan dengan Liverpool.

Kini keputusan untuk memuktamadkan rundingan dengan Liverpool bagi merealisasikan perpindahan Mane terletak di tangan pengurus baharu Real.

Tags / Kata Kunci: Sadio Mane , Liverpool , Real Madrid
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan