Bukan salah Fajer! Bibi dedah padang teruk, faktor lain punca TRW kalah - Bola Sepak | mStar

Bukan salah Fajer! Bibi dedah padang teruk, faktor lain punca TRW kalah

Diterbitkan: Isnin, 28 Mei 2018 7:30 AM

Bibi Ramjani

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan meminta penyokong The Red Warriors (TRW) agar tidak menuding jari sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Fajer Ibrahim di atas kekalahan berturut-turut pasukan itu.

Jelas Bibi, kekalahan Kelantan disebabkan beberapa faktor selain ketiadaan padang yang sempurna untuk sesi latihan.

“Saya tak salahkan 'coach'. Sekarang pemain tak dapat berlatih dengan baik kerana keadaan padang di Ketereh amat teruk selain lokasinya yang jauh.

“Coach juga tak dapat gunakan sepenuhnya ruang yang ada kerana bimbang pemain akan bergelut dengan kecederaan susulan keadaan padang yang teruk,” katanya kepada mStar Online.

Bibi kini berada di Makkah bagi menunaikan umrah bersama dua anaknya.

Menurut Bibi, pasukan TRW tidak lagi menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad IV kerana keputusan kerajaan negeri Kelantan tidak membenarkan penggunaan stadium itu sepanjang bulan Ramadan.

“Saya dimaklumkan stadium tidak boleh digunakan untuk latihan dan perlawanan sebenar bagi menghormati bulan Ramadan selain terdapat aktiviti sekitar stadium,” katanya.

Susulan itu, Bibi berkata Kafa pernah memohon untuk menggunakan beberapa padang seperti padang Perdana tetapi tidak dibenarkan meskipun berbayar kerana rekod bayaran persatuan itu yang lemah.

“Apabila Kafa nak guna mana-mana padang padang, hutang Kafa banyak maka orang jadi takut (nak benarkan sewa padang) kerana tunggakan sebelum ini masih belum diselesaikan.

“Rekod pengurusan sebelum ini banyak menyebabkan orang hilang kepercayaan terhadap Kafa. Sebagai contoh saya berdepan kes mahkamah kerana tunggakan bayaran padang Universiti Sains Malaysia (USM) oleh pengurusan lama,” katanya.

Pada masa sama, Bibi turut mengakui kekurangan pemain import berkualiti turut mempengaruhi rentak hambar pasukan itu ketika ini.

“Kami perlukan sekurang-kurangnya dua lagi pemain import memandangkan Cassio de Jesus bergelut dengan kecederaan.

“Oleh itu kami akan memohon pelepasan sekatan perpindahan pemain kedua oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi menggantikan posisi Mohammed Ghaddar yang ditamatkan kontraknya atas persetujuan bersama,” katanya.

Malah Bibi turut berpendapat tekanan penyokong terhadap pemain muda sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan.

“Mereka budak-budak, biasalah kalau kena marah orang ramai mereka takut. Mereka tak biasa lagi, mereka kena ambil sedikit masa untuk sesuaikan diri.

“Jadi saya minta agar barisan pemain muda jangan putus asa dengan tekanan penyokong dan teruskan bermain,” katanya.

Tags / Kata Kunci: Bibi Ramjani , Kafa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan