Lang Merah tewaskan Tok Gajah - Bola Sepak | mStar

Lang Merah tewaskan Tok Gajah

Diterbitkan: Rabu, 23 Mei 2018 8:03 AM

Kapten Pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar (lima, kanan) menjaringkan gol pertama skuad Lang Merah pada separuh masa perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Aman, malam Selasa. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Terengganu berjaya melonjak ke tangga keempat carta Liga Super 2018 selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selasa malam.

Keputusan itu sekali gus menamatkan rekod enam perlawanan tanpa kalah yang dipegang Perak, selepas kali terakhir tewas 2-3 kepada Kelantan pada 24 Februari lalu.

Skuad penyu membuka jaringan menerusi sepakan penalti penyerang import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche pada minit ke-26, sebelum beliau menggandakan jaringan pada minit ke-52, bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan Pantai Timur itu.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pahang untuk memintas PKNS FC ke tangga kelima carta.

Dua jaringan skuad Lang Merah dijaringkan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-44 dan pemain import dari Kosovo, Liridon Krasniqi pada minit ke-88.

Sementara itu, Kuala Lumpur membenam Kelantan 5-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, menyaksikan pemain import dari Brazil, Guilherme de Paula muncul wira pasukan apabila menjaringkan dua gol pada minit keempat dan ke-23.

Skuad ‘The City Boys' turut meraih gol menerusi rakan senegaranya, Paulo Josue pada minit ke-10, Ashri Chuchu (minit ke-78) dan seorang lagi pemain import dari Brazil, Junior Aparecido (minit ke-86), manakala Kelantan mengurangkan defisit menerusi Shafiq Shaharudin pada minit ke-16.

Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) masih kekal di puncak carta dengan 25 mata daripada 10 perlawanan, diikuti Perak (20 mata), Pahang (18), Terengganu (18) dan Kedah (18).

Dalam saingan Liga Premier, JDT II mencipta kemenangan 2-0 ke atas Sarawak pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Gol JDT II dijaringkan pemain import, Bruno Gabriel Soares pada minit ke-37 sebelum Muhammad Fazly Mazlan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-42.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas terikat 2-2 berdepan UKM FC di Stadium Shah Alam.

Kapten, Shahurin Abu Samah meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-39 sebelum UKM FC mendahului 2-1 menerusi gol Faiz Hanif Adnan pada minit ke-49 dan 64, namun kedudukan itu berubah sejurus jaringan Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi pada minit ke-75.

Pasukan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) pula bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Pulau Pinang 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

MIFA membuka jaringan menerusi G. Mugenthirran pada minit ke-31, sebelum pasukan pelawat mendahului dengan dua jaringan pemain import dari Korea Selatan, Kang Seung-jo pada minit ke-45 (penalti) dan minit ke-66.

MIFA, bagaimanapun mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan pemain import dari Korea Selatan, Bae Beom-geun pada minit ke-81 dan P. Rajesh dua minit kemudian. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan