Arsenal tolak Arteta pilih Emery - Bola Sepak | mStar

Arsenal tolak Arteta pilih Emery

Diterbitkan: Selasa, 22 Mei 2018 2:52 PM

(Ubah saiz teks)

UNAI Emery akan diumumkan sebagai pengurus baharu Arsenal dalam satu sidang media pada minggu ini selepas lembaga pengarah The Gunners melakukan undian bagi menolak pelantikan Mikel Arteta secara sebulat suara.

Arteta menjadi calon pilihan utama untuk menggantikan Arsene Wenger dan bekas pemain Arsenal itu berminat dengan tawaran tersebut selepas mengadakan rundingan dengan kelab berkenaan.

Namun, Arsenal mengubah keputusan berhubung pelantikan Arteta dan lembaga pengarah percaya mereka memerlukan pengurus berpengalaman untuk mengisi kerusi panas ditinggalkan Wenger.

Menurut BBC, Arsenal bersetuju dengan pelantikan Emery dan bekas pengendali Paris Saint Germain (PSG) itu akan diumumkan secara rasmi sebagai pengurus baharu Arsenal minggu ini.

Mikel Arteta.

Emery dipecat pemilik PSG awal bulan ini selepas gagal mengemudi pasukan itu mara ke kelompok 16 pasukan terakhir pada aksi Liga Juara-Juara.

Pengendali berusia 46 tahun itu pernah melatih Sevilla di mana dia mengemudi kelab gergasi Sepanyol itu menjulang tiga trofi Liga Europa dalam tempoh empat tahun.

Emery membantu PSG memenangi lima trofi di Paris tetapi kelab Perancis itu kecundang di tangan Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara tahun lalu.

Keputusan Arsenal membawa masuk Emery menimbulkan tanda tanya berhubung masa depan Arteta di Manchester City.

Arteta masih mempunyai baki kontrak selama setahun di Etihad.

Emery tidak begitu fasih berbahasa Inggeris tetapi lembaga pengarah Arsenal tidak menganggap ia sebagai satu masalah besar.

Tags / Kata Kunci: Unai Emery , Mikel Arteta
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan