Hijau kuning tanpa dua tonggak utama - Bola Sepak | mStar

Hijau kuning tanpa dua tonggak utama

Diterbitkan: Ahad, 13 Mei 2018 10:28 AM

(Ubah saiz teks)

KEDAH kehilangan dua tonggak penting apabila berkunjung ke Stadium Paroi untuk menentang skuad Negeri Sembilan pada Ahad malam.

Skuad hijau kuning yang menghuni tangga keenam Liga Super terpaksa melupakan khidmat dua pemain importnya iaitu, Andik Vermansyah dan Sandro Da Silva yang mengalami kecederaan.

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof berkata, pemain dari Indonesia dan Brazil itu perlu direhatkan untuk sementara kerana bimbang kecederaan yang dialami semakin serius jika diturunkan.

“Saya harap pemain sedar pentingnya untuk mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini kerana inilah cara kita untuk memperbaiki kedudukan Liga Super setelah kehilangan enam mata menerusi tiga perlawanan lalu.

“Penyerang baharu pula iaitu Marko Korac tidak boleh beraksi pada perlawanan ini kerana belum didaftarkan. Kami perlu menunggu perlantikan presiden baharu untuk proses seterusnya.

“Walaupun Marko beraksi bersama pasukan Kuantan FA sebelum ini tetapi dia hanya bermain sebanyak lima perlawanan. Dari segi kecergasan, dia telah mengikuti latihan bersama pemain lain.

"Oleh itu bagi perlawanan ini kita akan menggunakan dua daripada lima pemain import yang ada dan ketiadaan mereka akan diganti oleh pemain tempatan," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam menambah, gandingan pemain muda dan senior Kedah mampu membentuk kesebelasan yang mantap dengan adanya pemain seperti Akhyar Rashid yang pantas.

Bagaimanapun jelasnya, setiap pemain perlu peka dan berusaha sepanjang permainan untuk memastikan kita tidak pulang dengan 'tangan kosong'.

Menurutnya,  mereka juga telah diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan yang akan memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.


Tags / Kata Kunci: Kedah , Nidzam , Andik
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan