Kedah tanpa 'lipas kudung' - Bola Sepak | mStar

Kedah tanpa 'lipas kudung'

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mei 2018 10:47 AM

(Ubah saiz teks)

SKUAD Hijau Kuning bakal turun berdepan Pahang dalam saingan Liga Super tanpa pemain liciknya yang cedera, sekali gus bakal diketepkan barisan kejurulatihan.

Andik Vermansyah mungkin tidak menjadi pilihan Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusof selepas disahkan mengalami kecederaan selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan baru-baru ini.

Bagaimanapun ia tidak menjadi alasan untuk Kedah gagal mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur Sabtu malam ini.

Mohd Nidzam berkata, ketiadaan Andik di sebelah sayap kiri tidak akan merencatkan prestasi pasukan kerana pemain gantian yang ada mampu menggalas tugas dengan baik.

“Menurut pegawai perubatan pasukan, Andik terpaksa berehat lebih lama kerana kecederaan di bahagian lutut yang  serius dan saya tidak ada pilihan lain kecuali melupakan khidmatnya untuk sementara waktu.

“Saya yakin dengan kemampuan barisan pemain Kedah untuk berdepan asakan dan juga tekanan di Kuantan pada Sabtu malam kerana mereka tahu pentingnya bagi kami meraih kemenangan pada pertemuan ini.

“Kekalahan kami kepada lawan yang sama pada saingan Piala FA musim ini sudah dilupakan dan  ini adalah perlawanan liga. Tempo dan keadaan perlawanan sama sekali berlainan.

“Saya telah memberikan apa yang sepatutnya kepada pemain dari segi taktikal dan disiplin di atas padang ketika sesi latihan dan mereka juga kelihatan bersedia untuk berusaha membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan ini," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam menambah, pertahanan Kedah, Rizal Ghazali sudah mampu beraksi kembali pada pertemuan ini selepas menjalani hukuman pergantungan satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning sebelum ini.

“Kehadiran Rizal mampu meningkatkan lagi rentak pasukan khususnya ketika bertahan dan saya juga akan membariskan kesebelasan terbaik untuk perlawanan ini.

“Saya juga yakin mereka akan berusaha sebaik mungkin sepanjang permainan dan apa yang paling penting ialah tidak melakukan kesilapan yang mampu memberi peluang kepada lawan menghasilkan jaringan.

Tags / Kata Kunci: Andik , Kedah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan