Kurang 48 jam, Fajer buat U turn - Bola Sepak | mStar

Kurang 48 jam, Fajer buat U turn

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2018 2:04 PM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

PETALING JAYA: Pengendali dari Syria Fajer Ibrahim membuat pusingan U apabila menarik balik keputusannya untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Kelantan.

Fajer ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat mengesahkan dia akan terus mengemudi skuad The Red Warriors (TRW) dalam mengharungi baki perlawanan musim ini.

"Ya saya akan kekal bersama pasukan ini," katanya.

Jelas Fajer, beliau mengubah keputusannya selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) , Bibi Ramjani Ilias Khan pagi Jumaat.

"Saya telah bertemu dengan Puan Presiden. Segalanya sudah diselesaikan.

"Saya berjanji akan terus menyokong beliau dan membantu Kelantan menamatkan kemarau kemenangan selepas ini," katanya.

Mengenai pertemuan itu, Fajer berkata beliau diberi jaminan untuk meneruskan tugasnya selaku ketua jurulatih tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam pengurusan Kafa.

"Saya tidak akan membenarkan sesiapa sahaja campur tangan tugas saya kecuali presiden," katanya.

Ditanya mengenai keputusan mengejutnya baru-baru ini, Fajer berkata, dia melepaskan jawatannya kerana kesal dengan sikap segelintir individu dalam Kafa yang tidak boleh menerima pembaharuan yang dilakukannya.

"Hanya presiden seorang yang menyokong saya dan pasukan. Mereka yang lain (Kafa) menentang pasukan dan juga presiden. Mereka juga mahu melihat pasukan berada di tangga tercorot liga. Ia amat menyedihkan," katanya.

Fajer turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir individu terbabit yang mahu melihat presiden Kafa meletak jawatan.

"Mereka terus beri tekanan kepada Puan Presiden supaya dia berundur. Namun dia seorang wanita yang amat kuat," katanya.

Terdahulu, Fajer dilaporkan telah membuat kejutan apabila meletak jawatan sebagai ketua jurulatih sejurus pasukannya tumpas 0-2 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada aksi Liga Super di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam Rabu lalu.

Fajer berkata peletakan jawatan itu berpunca daripada sikap buruk pengurusan Kafa.

Sepanjang mengendalikan TRW, Fajer melakukan perubahan drastik apabila menyingkirkan dua legenda pasukan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek dan pemain tengah, Mohd Badhri Radzi (Piya).

Fajer turut bertanggungjawab melakukan perubahan dengan menyenaraikan ramai pemain muda untuk diserapkan ke dalam skuad Kijang itu.

Tags / Kata Kunci: Fajer Ibrahim , Kafa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan