Jurulatih UKM FC puas hati badi kekalahan tamat - Bola Sepak | mStar

Jurulatih UKM FC puas hati badi kekalahan tamat

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2018 10:04 PM

Foto dari Instagram @ukmfcofficial

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin gembira apabila pasukannya berjaya menamatkan badi kekalahan dalam saingan Liga Premier, musim ini setelah menundukkan Sabah 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini pada Selasa.

Beliau berkata kemenangan kedua daripada lapan perlawanan yang diharungi amat bermakna untuk memastikan mereka tidak tercicir jauh dengan pasukan lain terutamanya dalam usaha mereka untuk kekal bersaing dalam Liga Premier, musim depan.

Kunci kejayaan perlawanan pada Selasa adalah kembalinya kapten pasukan, Mohamad Hafizudin Sulaiman yang berehat panjang akibat kecederaan, selain ketajaman sentuhan penyudah penyerang import dari Korea Selatan, Nam Sein-In yang meledak dua gol pada perlawanan berkenaan.

“Sebelum perlawanan, saya cabar pemain untuk kembali mencatat kemenangan sekiranya ingin kekal beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan dan Alhamdulillah, pemain ikut arahan yang diberikan.

Cuma di penghujung babak perlawanan, bahagian belakang kita agak longgar dan Sabah mengambil kesempatan tetapi saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana dapat mempertahankan kedudukan 3-2 sehingga tamat perlawanan,” kata Sulaiman ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Pada aksi Selasa, UKM FC selesa mendahului 3-0 hasil jaringan Nam Se-In pada minit ke-28 dan minit ke-58, sebelum pemain Rwanda, Kipson Atuheire menambah derita pasukan pelawat menerusi gol ketiga pada minit ke-72.

Sabah bagaimanapun bangkit pada babak kedua perlawanan dengan meraih dua gol menerusi pemain import dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos Lebron dan Justin Samaan mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-75 dan minit ke-82. - Bernama

Tags / Kata Kunci: UKM FC
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan