Punca Piya, Apek digugur akhirnya didedah - Bola Sepak | mStar

Punca Piya, Apek digugur akhirnya didedah

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2018 4:43 PM

Foto Kelantan FA Official.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim tampil menjelaskan punca sebenar dia 'melepaskan' dua ayam tambatan pasukan itu, Mohd Badhri Mohd Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat daripada skuad utamanya.

Pengendali dari Syria itu berkata, Khairul Fahmi atau dikenali dengan panggilan Apek dan Mohd Badhri (Piya) tidak dapat mengikut corak permainan yang diterapkannya.

"Secara umumnya, mereka tiada dalam perancangan saya. Mereka tak boleh nak ikut dan bermain seperti yang diperlukan dalam bola sepak terutamanya Piya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Fajer, beliau menghormati jasa kedua-dua pemain itu tetapi perubahan perlu dilakukan demi masa depan bola sepak Kelantan.

"Saya menghormati sejarah mereka tetapi inilah kehidupan dan bola sepak seperti kehidupan," katanya.

Menurut pengendali berusia 53 tahun itu, Kelantan mempunyai ramai pemain muda berbakat dan beliau mahu memberi peluang kepada mereka untuk beraksi dengan lebih kerap.

"Kami mahu membina sebuah pasukan yang hebat pada masa hadapan. Oleh itu, kami sentiasa memberi sokongan kepada pemain muda dan beri mereka banyak peluang untuk beraksi," katanya.

Malah beliau berkata, keputusan menurunkan lebih ramai pemain muda pada kali ini juga dilakukan kerana ia sebahagian daripada polisi masa depan Kelantan.

"Ini juga polisi masa depan pasukan. Bola sepak pada hari ini jauh berbeza berbanding dahulu. Jika mereka mahu beraksi lebih kerap, mereka perlu cari pasukan baharu," katanya.

Pada masa sama, Fajer berkata beliau akan memaklumkan mengenai perkara tersebut secara rasmi kepada Apek dan Piya dalam tempoh terdekat.

"Saya akan bertemu mereka dalam minggu ini. Sudah tentu sebelum aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) memandangkan mereka tidak akan diturunkan pada perlawanan tersebut," katanya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan pada Isnin mengesahkan Apek dan Piya antara pemain senior yang terpaksa dilepaskan lebih awal pada musim ini.

Turut dilepaskan adalah pemain pertahanan Amirizdwan Taj Tajuddin.

Terdahulu, Kelantan turut mengumumkan pemain import dari Brazil, Bruno Lopes bersama tiga pemain tempatan S Veenod, Rozaimi Azwar dan Faizol Nazlin Sayuti tidak lagi beraksi bersama pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Tags / Kata Kunci: Fajer Ibrahim , Piya , Apek , Kafa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan