PSG, Monaco intai Wenger - Bola Sepak | mStar

PSG, Monaco intai Wenger

Diterbitkan: Sabtu, 21 April 2018 7:15 AM

(Ubah saiz teks)

ARSENE Wenger belum ada perancangan untuk bersara daripada arena bola sepak dan sedia berbincang dengan Paris Saint-Germain dan Monaco sebaik sahaja meninggalkan Arsenal.

Pengurus berusia 68 tahun itu akhirnya memutuskan untuk menamatkan karier selama 22 tahun bersama Arsenal pada hujung musim ini.

Wenger yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun mengejutkan ramai pihak terutama anak buahnya apabila memaklumkan mengenai hasratnya itu semasa latihan awal pagi Jumaat.

Difahamkan, Wenger kecewa dengan sikap lembaga pengarah Arsenal selepas dia menerima kata dua daripada mereka.

Wenger didakwa telah dimaklumkan lembaga pengarah The Gunners bahawa dia akan dipecat pada hujung kempen jika dia tidak berundur dengan rela hati.

Menurut The Sun, Wenger masih terbuka untuk membimbing mana-mana kelab selepas ini dengan PSG dan Monaco berminat terhadapnya.

PSG dilaporkan bercadang untuk memecat Unai Emery pada hujung musim dan sudah berbincang dengan bekas pengurus Borussia Dormund, Thomas Tuchel yang turut dikaitkan dengan Arsenal.

Wenger merupakan rakan baik Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi yang dilihat akan menawarkannya jawatan pengarah sukan dan berkemungkinan menggantikan Antero Henrique pada musim panas ini.

Malah Monaco pula menjadi pilihan kedua Wenger yang pernah dikemudinya menjulang trofi Liga 1 pada 1988.

Tags / Kata Kunci: Arsene Wenger , Arsenal
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan