‘Belum boleh selesa lagi...’ - Bola Sepak | mStar

‘Belum boleh selesa lagi...’

Diterbitkan: Khamis, 19 April 2018 6:09 PM

Nazliazmi berharap moral pemainnya tidak terjejas walaupun tewas 0-4 di tangan Kedah baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

PEMAIN Selangor diingatkan supaya tidak terlalu selesa meskipun membawa bekalan selesa tiga gol dalam saingan suku akhir Piala FA.

Pengendalinya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir berkata, ini kerana beliau yakin pasukan lawan, Kuala Lumpur akan bermain mati-matian untuk menafikan tiga gol itu pada aksi suku akhir kedua Sabtu ini.

"Belum boleh selesa lagi kerana pasukan lawan pastinya akan berusaha memadamkan kelebihan kami pada aksi kedua ini nanti.

"Jadi, saya tetap mahu pemain kekal fokus, berdisiplin dan memanfaatkan setiap peluang dengan sebaiknya pada aksi kedua nanti," katanya ketika dihubungi.

Pada aksi suku akhir pertama tempoh hari, Gergasi Merah gah menewaskan Kuala Lumpur 3-0 di Stadium KLFA Cheras menerusi jaringan Willian Pacheco dan Rufino Segovia (dua gol).

Bagaimanapun, rentak positif itu direntap di Stadium Darul Aman minggu lalu, apabila Selangor dibelasah 0-4 oleh Kedah dalam saingan Liga Super.

Ekoran itu, Nazliazmi mengakui moral pemainnya sedikit menurun dan berharap ianya tidak akan menjejaskan persiapan dalam perlawanan malam esok.

"Moral pemain memang sedikit terganggu, tapi secara keseluruhan saya berharap ianya tidak menjejaskan persiapan dan fokus pemain.

"Apa yang pasti, kami akan terus bermain seperti biasa dan memberi tekanan kepada Kuala Lumpur dalam perlawanan ini untuk melangkah ke pusingan separuh akhir," katanya lagi. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Selangor , Piala FA
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan