Liga Premier: Devan harap Mifa teruskan rentak kemenangan - Bola Sepak | mStar

Liga Premier: Devan harap Mifa teruskan rentak kemenangan

Diterbitkan: Ahad, 15 April 2018 3:05 PM

k.Devan (kiri) bersama pemain-pemain Mifa sebelum ini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih pasukan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (Mifa), K. Devan berharap para pemain pasukan itu dapat meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan Liga Premier selepas menang 4-0 ke atas UiTM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu malam.

Beliau mahu anak-anak buahnya meneruskan prestasi untuk mencatatkan lebih banyak kemenangan,  sekali gus memperbaiki kedudukan pada carta Liga Premier 2018.

“Kita bermain baik pada kedua-dua babak...dapat banyak peluang untuk menjaringkan gol dan saya berpuas hati dengan prestasi dan kemenangan pada malam ini. Pasukan UiTM merupakan pasukan yang kuat, tak sangka kami boleh menang dengan jaringan 4-0, mungkin mereka tidak beraksi seperti biasa.

“Saya rasa semua pasukan dalam Liga Premier mempunyai standard dan kekuatan yang sama, kecuali Felda United...bagi saya Felda merupakan pasukan elit. Jadi saya mahu pemain saya berjuang dengan bermati-matian dan bekerja keras untuk mencari kemenangan untuk raih lebih banyak mata,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan tersebut.

Kemenangan itu yang menyaksikan buat kali pertama pasukan Mifa menjaringkan lebih daripada satu gol dalam tujuh aksi liga setakat ini, boleh dianggap sebagai hadiah hari kelahiran kepada Devan yang menyambut ulang tahun ke-67 pada Khamis lepas.

Keputusan itu turut menyaksikan Mifa memintas UiTM FC ke kedudukan kelima liga dengan 10 mata daripada dua kemenangan, empat seri dan satu kekalahan, manakala UiTM berada di tempat keenam dengan sembilan mata selepas mencatatkan dua kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.

Sementara itu, ketua jurulatih UiTM FC Wan Mustafa Wan Ismail berkata kekalahan besar itu berpunca daripada kesilapan pemainnya yang gagal menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan, selain beberapa kesilapan individu.

“Saya harap pemain-pemain akan perbaiki prestasi mereka kerana perjalanan masih jauh, beberapa pemain kita, termasuk pemain import gagal menunjukkan prestasi yang sebenar, jadi saya berharap mereka akan bangkit daripada kekalahan ini.

“Kebanyakan pemain baru pulih daripada kecederaan...kita juga kehilangan beberapa pemain utama kerana dikenakan hukuman penggantungan,” katanya.

Pasukan UiTM FC akan menerima kunjungan Sarawak di Stadium UiTM, Shah Alam pada 23 April ini, manakala MIFA akan melawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium MBPJ pada hari berikutnya.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Mifa , K.Devan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan